Pesta menjala sotong di Pantai Kekabu

Pesta menjala sotong di Pantai Kekabu

‎am@hmetro.com.my

‎Marang: Pantai Kekabu, di sini, menjadi tarikan puluhan ribu pengunjung dari pelbagai daerah untuk merasai sendiri keseronokan menjala sotong.

Biarpun ada yang kekok menggunakan jala, mereka masih berjaya memperoleh hasil, sekali gus membuktikan ada ‘lubuk’ di kawasan pantai berkenaan.

Seorang pengunjung, ‎Wan Firdaus Wan Azman, 26, berkata, dia sudah tiga kali ke pantai berkenaan bersama rakan selepas teruja dengan hasil diperoleh sebelum itu.

‎”Saya tak pandai pun menjala, tapi tetap seronok. Walaupun jala tak kembang elok, masih ada sotong yang melekat,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan.

‎Anak jati Kuala Berang, Hulu Terengganu itu berkata, dia terdorong mencuba aktiviti berkenaan selepas melihat ia tular di media sosial.

‎”Mula tengok di media sosial, bila datang sendiri memang terkejut sebab suasana macam pesta, jalan masuk pun sesak,” katanya.

‎Tinjauan mendapati sepanjang pesisir Pantai Kekabu dipenuhi orang ramai yang menjalankan aktiviti berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan di laluan masuk serta kawasan parkir.

‎Wan Firdaus berkata, sepanjang tiga hari mencuba aktiviti itu, dia berjaya memperoleh kira-kira lima kilogram sotong.

‎”Hasil yang dapat tak dijual, kami makan sendiri dan kongsi dengan keluarga serta jiran,” katanya.

‎Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Husfaizal Wan Hussin, 27, dari Ajil, berkata dia sudah tiga kali turun ke pantai berkenaan sepanjang musim ini.

‎”Kebiasaannya sekali turun boleh dapat lebih kurang tiga kilogram sotong, dari petang sampai pukul 8 malam, bergantung keadaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top