Petik tiap hari

Petik tiap hari

nurul_husna@mediaprima.com.my

Cuaca tempatan yang panas dan lembap sepanjang tahun memberi kelebihan kepada pengeluaran buah tin setiap hari.

Menurut pengusaha ladang buah tin Figtopia di Changkat Jering, Perak, Mohd Yusof Nor, 39, buah tin yang berasal dari negara empat musim, kini boleh ditanam dan bertahan dalam iklim tempatan.

Malah pengeluaran hasil jauh lebih baik iaitu berbuah setiap hari kerana cuaca tempatan yang panas sesuai untuk tanaman terbabit.

“Pengeluaran hasil buah tin dari ladang ialah setiap hari yang mana ketika ini memiliki lebih 3000 pokok terdiri daripada 60 jenis varieti sesuai dengan iklim dan pasaran tempatan.

“Boleh dikatakan variasi buah tin dari pelbagai negara ditanam dalam ladang bagi fokus perniagaan saya yang melihat penanaman buah sebagai tarikan agro pelancongan.

“Seperti mana penanaman anggur, buah tin ditanam dalam cuaca dan negara kita boleh mengeluarkan hasil setiap hari.

“Kaedah penanaman di ladang ini yang menggunakan sepenuhnya kaedah rumah hijau membolehkan tanaman dikawal dan diurus dengan baik,” katanya.

Dalam memastikan pengeluaran buah setiap hari, kata Mohd Yusof, ladangnya mengambil pendekatan menanam secara berperingkat.

“Kebanyakan pokok buah tin kita tanam adalah daripada keratan batang dan kaedah tut berakar yang lebih sesuai berbanding biji benih.

“Lebih banyak digunakan ialah kaedah tut berakar yang penanaman buah tin menggunakan cara ini akan memaksa akar keluar pada batang pokok yang hidup.

“Kitarannya pula apabila pokok buah tin ditanam, ia mengambil masa kira-kira dua hingga tiga bulan untuk mula buah.

“Sebaik sahaja mula putik, buah tin mengambil masa kira-kira 100 hingga 120 hari untuk ia masak.

“Bagi buah tin, sebaiknya menjual buah yang masak di pokok dan tidak boleh dituai awal atau muda kerana kualiti iaitu tekstur dan rasanya akan terjejas,” katanya.

Justeru harga pasaran buah tin berbeza dengan buah import lain yang mana harga pasaran dianggarkan antara RM 60 hingga RM80 sekilogram.

“Cabaran saya sepanjang mengusahakan ladang buah tin ialah ketika mula memasarkan produk pada tahun 2021. Ketika itu, negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya terpaksa menghantar sendiri buah kepada pelanggan dan merentas negeri kerana buah ini tidak boleh menggunakan perkhidmatan kurier biasa.

“Disebabkan buah dijual adalah buah yang matang dan masak di pokok, ia tidak boleh disimpan terlalu lama.

“Saya pernah juga cuba hasilkan buah tin kering tetapi ia tidak berbaloi dengan kos dan usaha,” katanya.

Mengenai varieti buah tin dihasilkan, kata Yusof, kebanyakan buah tin yang ditanam berdasarkan varieti yang mendapat permintaan pasaran tinggi selain pengeluaran hasil yang banyak.”Kebanyakan varieti ditanam ialah Brazilian Xp dari Portugal dan Constantine de Algerie dari Algeria. Varieti lain Panache tiger, Cap terra hava, Masui dauphine, Vlassof, Yrllow Morrocco dan banyak lagi.

“Dua varieti utama itu ditanam kerana pengeluaran hasilnya lebih baik dan penjagaan lebih mudah berbanding lain-lain jenis.”Pada masa sama kami dapat memastikan pengeluaran hasil lebih stabil dan harga juga tidak terlalu tinggi untuk pasaran tempatan,” katanya.

Penjagaan pokok buah tin perlu teliti dari segi penyiraman kerana ia cukup sensitif dengan air.

“Pokok buah tin yang sudah matang cukup hanya disiram sehari sekali sahaja dan tidak boleh membiarkannya ditakungi air.

“Penjagaan lebih rumit apabila tiba musim hujan yang mana perlu pastikan tidak terlalu banyak air disiram,” katanya.

Selain itu, kaedah penanaman dalam rumah hijau banyak membantu melindungi pokok daripada diserang makhluk perosak terutama serangga dan kulat pokok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top