mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Isteri kepada pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah kesal dengan kewujudan petisyen kononnya bertujuan untuk membebaskan suaminya.
Nor Haslinda Abdul Manaf berkata, petisyen berkaitan melantik peguam untuk rayuan kes suaminya ke Mahkamah Persekutuan berkenaan adalah palsu.
“Benda (petisyen) ini dihantar oleh salah seorang ahli grup WhatsApp Bapakku FM. Petisyen ini guna gambar Tok Mat (Ahmad Zaharil). Saya sudah bertanyakan dia dan Tok Mat pun kata tidak tahu menahu.
“Harap jangan ada yang tertipu. Saya masih dalam proses nak uruskan kan petisyen ini, tapi tengok kat situ ramai yang sudah masuk daftar,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mereka juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara ini bagi mengelak lebih ramai terpedaya.
“Jangan menandatangani mana-mana petisyen berkaitan Saudara Ismahalil Hamzah tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak grup BapakkuFM.
“Sebarang tindakan atau petisyen hendaklah dibincangkan dan mendapat persetujuan pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan semua usaha dilakukan secara tersusun, sah dan tidak menjejaskan perjuangan bersama.
“Mohon kerjasama dan perhatian semua ahli serta sahabat BapakkuFM,” tulis kenyataan ini.
Pada masa sama, Nor Haslinda berkata, ada beberapa individu sudah menyumbang kepada pihak tertentu menerusi petisyen ini dan ia amat mengecewakan.
“Mereka boleh pilih banyak mana nak sumbang. Paling sikit RM12. Jadi sudah nampak ada unsur-unsur tidak kena,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Jumaat lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Ismahalil sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya atas kesalahan mengedar dadah pada September 2021.
© New Straits Times Press (M) Bhd
