am@hmetro.com.my
Kuantan: Jabatan Perikanan Pahang melepaskan sebanyak 76,190 anak penyu di perairan daerah ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2023 hingga tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Roslan Abu Hasan berkata, pelepasan terbanyak dilakukan pada tahun lalu membabitkan sebanyak 41,480 ekor diikuti 24,315 ekor (2023) dan 19,365 ekor (2024). Anak penyu yang dilepas kebanyakan jenis agar.
Katanya, dalam tempoh tujuh bulan tahun ini pihaknya melepaskan lebih 2,000 ekor anak penyu jenis agar dan program pelepasan dilakukan secara berperingkat bergantung pada jumlah penetasan telur.
Menurutnya, program pelepasan di perairan negeri ini dilakukan secara berperingkat sepanjang tahun dengan harapan suatu hari nanti reptilia berkenaan akan datang semula ke pantai berkenaan untuk bertelur.
“Jumlah anak penyu yang dilepaskan ke perairan negeri ini tidak menentu setiap tahun bergantung kepada jumlah telur berjaya dikumpul di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini yang terbabit sepenuhnya dalam aktiviti mengumpul, penetasan dan melepaskan penyu di pesisir Pantai Cherating.
“Penyu banyak mendarat untuk bertelur di sepanjang pesisir pantai Cherating, kini terdapat juga penyu bertelur di Kampung Tulai dan Kampung Juara di Pulau Tioman,” katanya, dihubungi di sini, semalam.
Beliau menambah, jabatan akan terus menjalankan aktiviti serta program kesedaran berkenaan kepentingan perlindungan terhadap spesies penyu yang kini terancam membabitkan nelayan dan masyarakat setempat.
Roslan berkata, setiap tahun jabatan mengadakan program kesedaran dan pemuliharaan penyu serta pelepasan anak penyu ke laut di PKPP Cherating, dengan kerjasama pelbagai pihak.
Jabatan bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan dan swasta mengadakan program kesedaran bagi memupuk tanggungjawab untuk mengekalkan penyu di negeri ini dengan menumpukan terhadap kempen tidak membuang sampah ke laut dan sungai.
“Sampah seperti plastik menjadi antara pembunuh senyap penyu, reptilia berkenaan makan plastik yang disangka ampai-ampai dan menjadi makanan utamanya.
“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini jabatan merekodkan 10 kematian penyu spesies agar dan lipas ditemui di persisiran pantai negeri ini,” katanya yang akan terus mempromosikan PKPP Cherating sebagai antara produk pelancongan terkenal di Pahang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

