mdroji@bh.com.my
Kuching: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih dalam proses perbincangan dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung cadangan pelaksanaan Ordinan Pengedaran Gas (DGO).
Dalam kenyataan dikeluarkan Petronas berkata, perbincangan yang berterusan bertujuan untuk menyelaraskan kepentingan dan objektif semua pihak.
Pada masa yang sama ia mengekalkan kesucian pengaturan kontrak sedia ada dan memastikan komitmen kepada pelabur serta pelanggan dapat terus dipenuhi.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas Petronas terhadap kenyataan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg hari ini bahawa Petronas dan Petros sudah mencapai resolusi bersama berkaitan urusan pengagihan gas.
Abang Johari dilapor berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh pihak Petronas kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, namun ia bukan pemakluman rasmi.
Abang Johari turut berkata, formula lengkap berhubung penyeliaan pengagihan gas di Sarawak akan dibincangkan lanjut antara dua syarikat terbabit.
Kerajaan Sarawak sebelum ini memutuskan Petros akan mengambil alih pembelian dan penjualan gas di negeri itu mulai 1 Julai lalu.
Bagaimanapun, Petronas meminta lanjutan masa untuk berunding dengan Petros kerana bimbang pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Pada 28 Julai lalu, kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan dan menetapkan 1 Oktober sebagai tarikh akhir untuk Petronas menyelesaikan isu berkenaan.
Pada 24 Sept, kerajaan Sarawak, Petros dan Petronas, dalam satu kenyataan bersama berkata, perbincangan mengenai pengagihan gas di negeri itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Menurut kenyataan itu, Petronas tidak memikirkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Sarawak dan Petros kerana semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang Persekutuan dan negeri mengenai pengagihan gas.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas mesyuarat peringkat tertinggi yang dihadiri Abang Johari; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Datuk Janin Giri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




