Petunjuk kukuh Putin lulus penggunaan peluru tembak MH17

The Hague: Pendakwa raya antarabangsa berkata mereka menemui “petunjuk kukuh” bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin meluluskan penggunaan sistem peluru berpandu Rusia di Ukraine yang menembak jatuh Penerbangan Malaysia Airlines (MH17) di timur negara itu pada 2014.

Bagaimanapun, bukti pembabitan Putin dan pegawai Rusia yang lain tidak cukup muktamad untuk membawa kepada sabitan jenayah.

Oleh itu mereka berkata, siasatan ditamatkan buat masa ini.

MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK Rusia ketika ia terbang melintasi timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda.

“Terdapat petunjuk kukuh bahawa presiden Rusia memutuskan untuk membekalkan BUK,” kata pendakwa raya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Tetapi pendakwa raya Digna van Boetzelaer dalam sidang akhbar di The Hague berkata siasatan itu kini “mencapai hadnya”.

“Penemuan itu tidak mencukupi untuk pendakwaan terhadap suspek baharu,” katanya.

Rusia berulang kali menafikan sebarang pembabitan negaranya pada masa lalu, tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Pada November, Mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Rusia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine atas pembunuhan kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu.

Lelaki itu, yang dibicarakan tanpa kehadiran, masih bebas.

Susulan kemusnahan pesawat itu, Belanda, Australia, Belgium, Ukraine dan Malaysia menubuhkan pasukan penyiasat bersama untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab dan mengumpulkan bukti untuk pendakwaan jenayah.

Piet Ploeg, yang kehilangan abangnya dalam kejadian itu dan mengetuai sebuah yayasan yang mewakili mangsa MH17, berkata dia kecewa siasatan terhenti, tetapi gembira pihak pendakwa raya mengemukakan bukti pembabitan Putin.

“Kami tidak boleh berbuat banyak dengannya, Putin tidak boleh didakwa.

“Kami ingin tahu siapa yang akhirnya bertanggungjawab dan itu jelas,” katanya.

Pada masa pesawat itu ditembak, meninggalkan serpihan dan jenazah mangsa bertaburan di ladang jagung dan bunga matahari, tentera Ukraine memerangi pemisah yang disokong Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Walaupun Rusia menyerang Ukraine pada Februari 2022 dan tujuh bulan kemudian berkata ia mengambil alih Donetsk, namun menafikan pembabitan tentera di sana pada 2014.

Pendakwa raya berkata pada hari Rabu mereka tidak dapat mengenal pasti askar khusus yang bertanggungjawab mengendalikan sistem peluru berpandu, yang datang dari briged ke-53 Rusia di Kursk.

Namun mereka berjaya membuat dua pintasan telefon dan memperoleh bukti yang pertama iaitu perbualan 2014 antara pegawai Rusia di mana menunjukkan kelulusan Putin adalah perlu sebelum permintaan untuk peralatan yang dibuat oleh pemisah boleh diberikan.

“Tidak diketahui sama ada permintaan itu secara eksplisit menyebut sistem BUK. Tidak lama kemudian, sistem pertahanan udara yang lebih berat dihantar, termasuk BUK yang menembak jatuh MH17,” kata pendakwa raya.

Bukti lain ialah perbualan 2017 antara Putin sendiri dan ahli politik pro-Rusia terkemuka di wilayah Luhansk di mana mereka membincangkan situasi ketenteraan dan pertukaran tahanan.

Andy Kraag, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kebangsaan Belanda berkata kes itu boleh diaktifkan semula dengan bukti baharu.

“Jawapan seterusnya, ia terletak di Rusia. Dan selagi tiada kerjasama di Rusia, jawapan itu akan kekal di sana. Pintu kami tetap terbuka,” katanya

Pendakwa Raya Ukraine Andriy Kostin berkata negara itu akan “berusaha menggunakan semua mekanisme undang-undang antarabangsa sedia ada” untuk membawa Putin ke muka pengadilan.

Australia dan Belanda sudah menyatakan bahawa mereka menganggap Rusia bertanggungjawab atas kejatuhan MH17.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Comment