Semaglutide bukan 'ubat kurus'

Semaglutide bukan 'ubat kurus'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suntikan bahan aktif semaglutide untuk pesakit diabetes kini didapati popular sebagai ubat ‘pantas’ untuk menurunkan berat badan secara drastik.

Bahan itu pada asalnya untuk membantu mengawal paras gula pesakit diabetes jenis 2 namun ada individu sihat berani mencubanya selepas muncul testimoni di media sosial kononnya ia ubat kurus paling mujarab.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 32, berkata, dia mengalami kesan teruk akibat mengambil suntikan itu selama seminggu.

“Saya cuma nak kurus tapi saya tak sangka kesannya seteruk itu.

“Saya terpengaruh dengan trend penggunaan bahan itu selepas melihatnya di media sosial kononnya suntikan itu berjaya menurunkan berat badan dengan cepat,” katanya.

Menurutnya, ramai yang berkongsi di media sosial bagaimana bahan aktif semaglutide boleh membantu menurunkan berat badan.

“Jadi saya beli di farmasi luar negara sebab harganya sekitar RM400 tanpa sebarang surat rujukan daripada doktor. Saya cucuk sendiri sebab ingatkan senang saja,” katanya.

Namun, apa yang disangka mudah berubah menjadi pengalaman yang menyakitkan.

Hanya selepas satu suntikan, Maya mengalami kesan sampingan yang amat serius.

“Mula-mula saya muntah teruk. Saya pening sepanjang hari, tak larat buat apa-apa, rasa macam orang mengandung kena ‘morning sickness’. Saya tak lalu nak makan langsung, cuma rasa haus yang melampau,” katanya.

Disebabkan kesan sampingan yang tidak tertanggung, Maya akhirnya mengambil keputusan berhenti menggunakan ubat itu.

“Saya cuma ambil sekali itu saja. Saya tak sanggup nak tanggung lagi. Mungkin ubat ini tak sesuai dengan badan saya, atau mungkin memang tak patut saya ambil,” katanya.

Maya mengakui bahawa dia tidak mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan bahan itu dan hanya membeli ubat itu di sebuah farmasi tanpa sebarang surat rujukan perubatan.

“Saya tahu silap saya tapi masa itu saya fikir nak kurus cepat. Bila tengok orang lain berjaya, kita pun rasa nak cuba tapi saya harap orang lain jangan ulang kesilapan saya,” katanya.

Sementara itu, Julia, 38, berkata, dia sudah setahun menggunakan suntikan semaglutide atas saranan doktor bagi merawat penyakit diabetes jenis 2 yang dialaminya.

Menurutnya, tujuan asal penggunaan ubat itu bukan semata-mata untuk kurus sebaliknya bagi menurunkan hemoglobin terglikosilasi (HbA1c) dalam darah sebagai penanda utama kawalan gula bagi pesakit diabetes.

“Saya mula dengan dos rendah 0.25mg, tiada apa-apa kesan. Bila naikkan ke 0.5mg pun sama saja tapi bila naik ke 1mg barulah nampak kesan, berat mula turun cuma kesan sampingan memang teruk sangat,” katanya.

Katanya, setiap kali makan walaupun sedikit, dia akan mengalami gangguan pencernaan yang serius.

“Makan sikit pun rasa nak membuang. Perut memang tak boleh terima makanan langsung, kadang-kadang sampai muntah, cirit-birit tak berhenti. Lama-kelamaan, berat saya sudah tak turun. Bila doktor cadang naikkan dos, saya tolak sebab tahu saya tak sanggup tanggung semua itu,” katanya.

Walaupun kesan penurunan berat badan sudah tidak sehebat awal penggunaan, Julia tetap meneruskan suntikan itu kerana kawalan gula dalam darahnya menjadi lebih baik.

“Saya terus guna sebab doktor kata ia bantu kawal diabetes saya. Sekarang, saya guna lebih kepada untuk cantikkan bacaan HbA1c. Tapi bila tak ambil suntikan ini, saya terus alami ‘hypo’ (hipoglikemia) teruk rasa macam gempa bumi dalam badan, pijak lantai pun tak rasa langsung,” katanya.

Seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Azila, 40, berkata, dia mula menggunakan suntikan semaglutide kerana mengalami kenaikan berat badan mendadak selepas melahirkan anak bongsunya.

“Berat saya naik mendadak sehingga 91 kilogram (kg) dan penat nak bawa badan sendiri. Saya pilih suntikan semaglutide sebab ia nampak mudah dan murah berbanding rawatan lain.

“Saya kemudian ke sebuah klinik yang menawarkan perkhidmatan menurunkan berat badan. Saya mula dengan dos 0.25mg yang disyorkan doktor di situ,” katanya.

Menurutnya, selepas dos pertama saja, berat badannya menurun 1.2 kg namun kesannya dirasai agak luar biasa.

“Jantung saya berdebar, saya langsung tiada selera makan tapi saya teruskan sebab nampak hasilnya. Suntikan pertama saya ambil di klinik, tapi selepas itu saya cucuk sendiri di rumah,” katanya.

Sehingga kini, berat Azila turun lebih enam kg dalam masa tiga bulan, namun perbelanjaannya untuk rawatan itu hampir mencecah RM4,000 dan semuanya dilakukan tanpa pemantauan doktor secara konsisten.

“Saya masih mengambil suntikan itu dan apabila merujuk kesan itu kepada doktor, dia memaklumkan setiap individu yang mengambil suntikan semaglutide akan mengalami kesan berbeza.

“Saya memang mahu menurunkan berat badan dalam kadar segera. Mungkin selepas berat badan saya 50kg, baru saya berhenti. Saya juga dinasihatkan supaya menjaga pemakanan selepas mendapat berat badan idaman kerana ia boleh naik semula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top