Islamabad: Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Selat Hormuz kini dibuka susulan perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Lubnan, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan beliau percaya perjanjian untuk menamatkan perang Iran akan dicapai tidak lama lagi, walaupun masa sebenar masih belum jelas.
Araghchi berkata, dalam satu hantaran di platform X bahawa selat itu dibuka kepada semua kapal komersial sepanjang tempoh gencatan senjata 10 hari yang diusahakan AS antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang disokong Iran, susulan persetujuan antara Israel dan Lubnan, lapor Reuters.
Beliau berkata, pergerakan kapal perlu mengikut laluan yang diumumkan oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran.
Serangan AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb meragut ribuan nyawa serta menggugat kestabilan Asia Barat. Konflik itu turut menyebabkan penutupan efektif Selat Hormuz, yang menjadi laluan bagi kira-kira satu perlima minyak dunia dan gas asli cecair, sekali gus mencetuskan ancaman kejutan harga minyak terbesar dalam sejarah.
Harga minyak global merosot kira-kira sembilan peratus, meneruskan penurunan sebelumnya susulan kenyataan Araghchi itu.
Tabung Kewangan Antarabangsa minggu ini menurunkan unjuran pertumbuhan global dan memberi amaran yang ekonomi dunia berisiko memasuki kemelesetan sekiranya konflik berpanjangan.
Trump pada Khamis berkata, rundingan mungkin diadakan seawal hujung minggu ini, namun menjelang petang Jumaat, perkara itu dilihat semakin tidak pasti berikutan cabaran logistik untuk menghimpunkan pegawai di ibu negara Pakistan, Islamabad, lokasi rundingan dijangka berlangsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




