PGA tahan kekasih, rampas syabu, 6,000 pil yaba

PGA tahan kekasih, rampas syabu, 6,000 pil yaba

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sepasang kekasih dan merampas 6,000 pil yaba serta 1.49 gram syabu dalam serbuan di Kampung Lawang, dekat Tanah Merah, semalam.

Dalam serbuan 8.30 malam, PGA Batalion 7 (PGA7) turut merampas wang tunai RM400 serta sebuah kereta dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM135,625.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 44 tahun dan 35 tahun.

Katanya, suspek lelaki mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan juga didapati positif dadah Methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati suspek lelaki disyaki mula menjual (dadah) secara pukal bermula sekitar awal tahun 2024,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1) ADB 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top