KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan menguna pakai kerangka kerajaan Perpaduan apabila memutuskan rakan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata, beliau telah diberitahu oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama erat dalam kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan dianggotai PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Rakyat (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan (Warisan).
“Saya diberitahu oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan untuk kerjasama erat dengan kerajaan Perpaduan. Beliau (Anwar) telah beritahu saya tentang perkara itu.
“Saya cakap ya, kita akan guna kerangka kerajaan Perpaduan dan perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut.
“Namun, saya tidak mahu mendedahkan apa yang kami telah bincangkan jadi, saya cuma boleh beritahu sedikit sahaja,” katanya ketika diminta mengulas tentang kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerjasama BN-PH menjelang PRN Sabah.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar sempena sambutan Hari Malaysia di Hotel Hilton, hari ini.
Menurutnya, PH Sabah sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dan kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO itu memberi petanda yang baik bahawa banyak parti ingin bekerjasama dengan PH Sabah.
Ditanya adakah kerjasama itu termasuk Warisan, Christina berkata, beliau tidak pasti tentang perkara itu, beliau hanya tahu PH adalah sebahagian daripada kerajaan Perpaduan. Di peringkat negeri terserah kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengenai peningkatan Peruntukan Khas interim kepada RM600 juta, Christina berkata, peningkatan itu sudah cukup baik namun, rayuan akan terus dibuat bagi mendapatkan formula yang terbaik. – UTUSAN




