Philipsen lega menang akhirnya

Philipsen lega  menang akhirnya

Voiron, Perancis: Jasper Philipsen mengakui dia berdepan tekanan sebelum memecut untuk meraih kemenangan bergaya pada peringkat ke-17 Tour de France, semalam sekali gus menamatkan kemarau kemenangan pelumba Belgium itu.

Philipsen memanfaatkan bantuan pecutan awal yang hebat daripada rakan sepasukan, Mathieu van der Poel sebelum memecut jauh meninggalkan Mauro Schmid dan Olav Kooij, yang masing-masing pernah memenangi satu peringkat Tour sebelum ini.

Kemenangan itu menjadi kejayaan peringkat ke-11 Philipsen secara keseluruhan dalam Tour de France. Pelumba berusia 28 tahun itu turut pernah memenangi jersi mata hijau kategori pelumba pecut pada 2023.

Ia juga memastikan Philipsen memenangi sekurang-kurangnya satu peringkat dalam lima edisi terakhir Tour de France.

Sebelum ini, dia hampir meraih kemenangan beberapa kali musim ini apabila lima kali menamatkan perlumbaan dalam kelompok lima terbaik.

Philipsen berkata permulaan Tour kali ini sangat mengecewakan buat dirinya.

“Bahagian awal Tour ini sangat teruk. Saya tidak dapat mencari rentak sendiri dan gagal mencapai prestasi yang saya harapkan,” katanya.

Dia turut mengakui tekanan untuk memberikan kemenangan semakin dirasai.

“Sudah tentu pasukan tidak pernah berkata saya mesti menang, tetapi kami sudah melakukan persiapan, kami mempunyai barisan pelancar pecut lengkap dan berada di sini untuk memenangi peringkat, bukan untuk klasifikasi keseluruhan.

“Jadi sentiasa ada harapan dan apabila saya tidak berjaya, mereka tidak akan menghukum saya atau apa-apa, tetapi perkara itu tetap memberikan tekanan besar kepada saya. Kadangkala ia sukar untuk ditangani,” katanya.

Dalam beberapa perlumbaan sebelum ini, Van der Poel sering cuba menyediakan laluan untuk Philipsen tetapi biasanya melakukan pecutan terlalu awal, menyebabkan Philipsen dipintas sebelum garisan penamat, kebanyakannya oleh rakan senegara, Tim Merlier.

Namun Merlier menarik diri daripada Tour beberapa hari lalu selepas gagal mengharungi peringkat gunung yang sukar.

Kali ini, Philipsen membuktikan dirinya pelumba terpantas pada penghujung laluan sejauh 174.7 kilometer dari Chambery ke Voiron.

“Mathieu adalah faktor yang sangat penting bukan sahaja hari ini tetapi juga dalam kemenangan peringkat saya sebelum ini di Tour,” kata Philipsen.

“Dia kelebihan besar yang kami ada dalam pasukan. Apabila Mathieu van der Poel melakukan tugas sebagai pelancar untuk anda, anda mahu membalasnya dengan kemenangan kerana tidak ramai pelumba mendapat keistimewaan mempunyai pelancar seperti dia.”

Selain bekas juara dunia, Van der Poel juga antara pakar perlumbaan satu hari terbaik dunia dengan memenangi Paris-Roubaix dan Tour of Flanders sebanyak tiga kali setiap satu, serta Milan-San Remo dua kali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top