Guna pacuan empat roda seludup minyak masak bersubsidi, 2 lelaki ditahan

Guna pacuan empat roda seludup minyak masak bersubsidi, 2 lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bagi mengelak ditahan, sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang membawa 100 kotak atau 1,700 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi memecut dan memasuki ban di Kampung Jeram Perdah menghala ke Kampung Pak Teh Kana, dekat Pasir Mas, semalam.

Kenderaan yang dinaiki dua lelaki berusia 27 dan 39 tahun itu berjaya ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas dan KPDN Kota Bharu menerusi op taring wawasan pada jam 7 petang.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kenderaan itu bersama 100 kotak minyak masak peket dengan nilai keseluruhan RM24,250 dirampas.

Katanya, ketika rondaan, pasukan mengesan sebuah Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas.

“Kenderaan itu bertindak memecut dan memasuki jalan ban Repek sebaik menyedari kehadiran pasukan.

“Pasukan berjaya menahan kenderaan terbabit dan menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu, penumpang serta kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 100 kotak dengan setiap kotak mengandungi 17 kg minyak masak bersubsidi di dalam kenderaan berkenaan bernilai RM4,250.

Katanya, dua lelaki itu ditahan dan minyak masak dirampas untuk tindakan lanjut. Kes dirujuk kepada KPDN Kelantan bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sindiket dipercayai menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero untuk mengangkut minyak masak bersubsidi ke kawasan tebing sungai sebelum diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram.

“Modus operandi yang digunakan adalah melalui jalan kampung, lorong tikus dan laluan tidak sah bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa serta mempercepatkan pergerakan barangan ke lokasi pemunggahan,” katanya.

Menurutnya, aktiviti itu menunjukkan minyak masak bersubsidi masih menjadi sasaran penyeludupan rentas sempadan berikutan permintaan dan perbezaan harga di negara jiran.

Katanya, kedudukan lokasi yang berhampiran sungai serta mempunyai akses ke beberapa pangkalan haram memudahkan sindiket memindahkan barang kawalan ke negara jiran menggunakan pengangkutan air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top