Piala Dunia 2026: Argentina 'dapat bantuan' daripada Rumah Putih menjelang final?

Piala Dunia 2026: Argentina 'dapat bantuan' daripada Rumah Putih menjelang final?

New York: Drama menjelang final Piala Dunia 2026 terus mencuri perhatian apabila Rumah Putih mempertahankan hak pemain Argentina untuk menyuarakan pandangan selepas aksi separuh akhir menentang England, Khamis lalu.

Ketua Pasukan Petugas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) Rumah Putih, Andrew Giuliani berkata, pemain Argentina mempunyai kebebasan bersuara ketika berada di Amerika Syarikat (AS), termasuk menyampaikan mesej yang dianggap mempunyai kaitan dengan isu politik.

Kontroversi tercetus selepas beberapa pemain Argentina dilihat mengibarkan sepanduk yang membawa mesej “Malvinas milik Argentina” ketika meraikan kejayaan menewaskan England 2-1 untuk melangkah ke final Piala Dunia.

Kepulauan Falkland yang dikenali sebagai Malvinas dalam bahasa Sepanyol menjadi isu sensitif antara Argentina dan Britain sejak sekian lama, malah kedua-dua negara pernah terlibat dalam konflik bersenjata pada 1982.

Bagaimanapun, tindakan itu mencetuskan persoalan kerana Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini mempunyai peraturan ketat melarang sebarang bentuk sepanduk, bendera atau mesej berunsur politik, diskriminasi atau menghina daripada dibawa ke dalam stadium.

Argentina sendiri pernah dikenakan tindakan oleh FIFA selepas penyokong mereka memaparkan sepanduk dengan slogan sama ketika aksi persahabatan menentang Slovenia pada 2014.

Dalam perkembangan terbaharu, FIFA dilaporkan sedang meneliti laporan berkaitan insiden berkenaan sebelum menentukan sama ada sebarang tindakan disiplin akan dikenakan terhadap pihak terbabit.

Namun, Giuliani menegaskan isu berkenaan perlu dilihat dari sudut kebebasan bersuara dan tidak seharusnya menjejaskan penyertaan Argentina yang bakal berdepan Sepanyol dalam perlawanan akhir di Stadium New York, New Jersey.

Kontroversi itu menambah lagi bahang menjelang aksi kemuncak Piala Dunia 2026 yang turut menjadi perhatian dunia dengan Lionel Messi berpeluang menambah satu lagi trofi bersejarah dalam penampilan terakhirnya di pentas terbesar bola sepak dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top