Houston: Pengendali Curacao, Dick Advocaat meminta anak buahnya tidak terlalu kecewa meskipun dibelasah Jerman 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Houston, sambil menegaskan mereka masih boleh menikmati pengalaman bersejarah itu.
Jurulatih berusia 78 tahun itu mengakui pasukannya tidak menjangka keputusan besar terbabit, namun menegaskan Curacao tetap perlu melihat sisi positif daripada penampilan sulung mereka di pentas dunia.
“Kami perlu jadikan ini sebagai kejohanan yang indah. Kami masih boleh mencipta kejutan dalam perlawanan kedua dan ketiga. Pada akhirnya kami akan gembira kerana menjadi sebahagian daripada kejohanan bola sepak terbesar di dunia,” katanya.
Curacao yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia terlebih dahulu mencipta detik bersejarah apabila Livano Comenencia menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan masih terikat 1-1, sekali gus mencetuskan sorakan besar penyokong mereka.
Namun Jerman yang lebih berpengalaman kembali menguasai permainan sebelum mencatat kemenangan besar 7-1.
Advocaat mengakui pasukannya melakukan beberapa kesilapan mudah tetapi menegaskan ia bukan sesuatu yang memalukan.
“Kami menjangka boleh memberi lebih saingan kepada Jerman, tetapi tidak berjaya. Mereka sangat kuat dan kami bolos beberapa gol mudah.
“Jika kalah, pemain tidak perlu terlalu kecewa. Ini bukan satu penghinaan,” katanya.
Beliau turut memuji sokongan padu penyokong Curacao yang tetap memberikan sorakan walaupun pasukan mereka ketinggalan jauh.
Advocaat berkata detik menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan turut memberi emosi yang mendalam kepadanya sebagai ketua jurulatih.
“Ia berkait dengan kegembiraan rakyat Curacao. Emosi itu sangat kuat, kegembiraan mereka luar biasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




