Arlington: Jepun mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Belanda 2-2 dalam aksi mendebarkan Kumpulan F Piala Dunia 2026 di Texas, hari ini.
Selepas gagal memecah kebuntuan pada babak pertama akibat disiplin pertahanan Jepun, Belanda akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-51.
Ryan Gravenberch melakukan hantaran lintang tepat ke arah kapten, Virgil van Dijk yang menanduk kemas ke penjuru gawang untuk meletakkan Oranje di depan.
Namun kelebihan itu hanya bertahan enam minit apabila Keito Nakamura melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Bart Verbruggen dan menyamakan kedudukan.
Belanda sekali lagi berada di depan pada minit ke-64 menerusi jaringan menarik Crysencio Summerville apabila percubaannya terkena tiang sebelum menerjah ke dalam gawang.
Ketika kemenangan dilihat hampir menjadi milik skuad kendalian Ronald Koeman, Jepun sekali lagi enggan mengalah.
Dua minit sebelum tamat perlawanan, pemain gantian Koki Ogawa melakukan tandukan tepat hasil sepakan penjuru sebelum bola terkena Daichi Kamada untuk menghadiahkan gol penyamaan buat skuad Samurai Biru.
“Jepun bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Belanda 2-2 dalam aksi mendebarkan Kumpulan F,” menurut laporan Reuters.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata berharga dalam usaha memburu slot ke pusingan kalah mati.
Belanda akan bertemu Sweden di Houston pada 20 Jun, manakala Jepun dijadual menentang Tunisia di Monterrey pada tarikh sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




