Piala Dunia 2026: Martin Odegaard yakin cergas, Norway sedia hadapi Iraq

Piala Dunia 2026: Martin Odegaard yakin cergas, Norway sedia hadapi Iraq

Foxborough: Kapten Norway, Martin Odegaard meredakan kebimbangan mengenai tahap kecergasannya menjelang aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia 2026 menentang Iraq di Massachusetts, awal pagi Rabu.

Pemain tengah Arsenal itu menegaskan dia berada dalam keadaan baik walaupun pernah bergelut dengan beberapa masalah kecederaan sebelum ini.

“Saya rasa saya okey. Saya tidak tahu kenapa anda semua begitu risau. Ya, saya ada sedikit masalah sebelum ini seperti yang anda tahu, tetapi saya rasa saya okey sekarang,” katanya kepada media.

Norway kembali ke pentas Piala Dunia selepas kali terakhir beraksi pada 1998, dengan skuad kendalian Stale Solbakken tampil cemerlang dalam kempen kelayakan apabila mencatat lapan kemenangan daripada lapan perlawanan, menjaringkan 37 gol dan hanya bolos lima kali.

Odegaard berkata standard tinggi itu kini menjadi norma baharu buat Norway, namun menegaskan fokus utama adalah aksi menentang Iraq.

“Itulah standard yang kami tetapkan selepas apa yang kami lakukan dalam kelayakan. Kami sedang mengubah jangkaan, itu sesuatu yang baik dan saya tidak akan katakan ia salah. Sekarang Iraq yang penting,” katanya.

Pengendali Norway, Solbakken turut mengesahkan Odegaard dan penyerang utama Erling Haaland berada dalam keadaan cergas untuk aksi pembukaan.

Beliau turut berseloroh mengenai prestasi Haaland dalam sesi latihan apabila penyerang Manchester City itu menghasilkan jaringan menarik.

“Dia menjalani sesi latihan terbaik semalam, permainan 11 lawan 11, dan dia menjaringkan gol terbaik tahun ini. Ia akan menjadi gol terbaik Piala Dunia jika disiarkan,” katanya sambil ketawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top