Houston: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann menegaskan beliau tidak akan membenarkan skuadnya terlalu selesa dengan kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao dalam aksi Kumpulan E Piala Dunia 2026 di Houston.
Jerman bermula cemerlang sebelum dikejutkan dengan jaringan penyamaan Curacao, namun kembali menguasai perlawanan dan akhirnya mencatat kemenangan bergaya.
“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik, 15 minit pertama amat cemerlang. Kami mencipta banyak percubaan. Gol penyamaan Curacao tidak dijangka, tetapi menarik melihat bagaimana pasukan bertindak balas,” katanya.
Nagelsmann mengakui Curacao tampil lebih berani daripada jangkaan, namun memuji reaksi anak buahnya yang kembali meningkatkan intensiti permainan pada babak kedua.
“Curacao bermain lebih baik daripada jangkaan ramai di Jerman dan mereka bermain dengan berani. Tidak mudah untuk menjaringkan tujuh gol, jadi kami berpuas hati,” katanya.
Namun beliau menegaskan masih banyak aspek perlu diperbaiki jika Jerman mahu melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.
“Kami berada di landasan yang betul, tetapi masih ada perkara yang perlu diperbaiki kerana lawan yang lebih sukar menanti,” katanya.
Nagelsmann turut mendedahkan semangat luar biasa penyokong Jerman yang melaungkan ‘kereta api tiada brek’ selepas perlawanan.
“Kami akan cuba untuk terus bergerak tanpa henti dalam kejohanan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




