Piala Dunia Remaja: Young Tigress intai Afrika Selatan medan pemanas badan

Piala Dunia Remaja: Young Tigress intai Afrika Selatan medan pemanas badan

SKUAD hoki remaja wanita negara, Young Tigress merancang untuk menjadikan Afrika Selatan sebagai medan pemanas badan pertama sebelum menghadapi Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.

Pengurus pasukan, Datuk Mohd Sayuti Abdul Samad menyasarkan antara tujuh hingga lapan perlawanan sepanjang Siri Jelajah Afrika Selatan tersebut, yang juga sebagai aksi timbal balas skuad negara itu ketika perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dari 24 Februari hingga 4 Mac lalu.

“Ini merupakan perancangan kami untuk mendapatkan aksi kompetitif selepas pembentukan pasukan yang menggabungkan pemain senior dan junior.

“Pasukan Young Tigress akan menentang skuad Afrika Selatan yang turut akan beraksi di Chile kelak, selain menguji beberapa kelab utama dalam liga hoki negara berkenaan.

“Seramai 40 pemain telah pun mula menjalani sesi pemilihan fasa pertama di bawah kendalian ketua jurulatih, Lailin Abu Hassan yang bermula Isnin lalu,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, skuad wanita Young Tigress di bawah kendalian Lailin telah pun mengesahkan slot ke Piala Dunia Remaja 2025 selepas layak ke kejohanan berprestij di Santiago, Chile tersebut.

Menurut Mohd Sayuti yang juga bekas penjaga gol skuad Piala Dunia Hoki Remaja Paris 1979, pasukan remaja wanita negara memerlukan lebih banyak aksi kompetitif bagi mempercepat proses kematangan permainan, terutama ketika menentang pasukan yang memiliki kelebihan dari segi fizikal.

“Pasukan remaja perlu diberikan lebih banyak peluang untuk menyertai perlawanan persahabatan berintensiti tinggi bagi menambah pengalaman mereka.

“Langkah ini penting bukan sahaja untuk memperkukuh keserasian dalam pasukan, malah membina keyakinan diri pemain apabila menentang pasukan lawan yang lebih besar secara fizikal,” jelas beliau.

Edisi ke-11 Piala Dunia Hoki Remaja Wanita akan menghimpunkan 24 pasukan remaja terbaik dari seluruh dunia.

Scroll to Top