Piala Malaysia: TFC tempah tiket ke suku akhir

Piala Malaysia: TFC tempah tiket ke suku akhir

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) berjaya menempah slot ke perlawanan suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi Melaka FC dengan agregat 4-1 setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam tadi.

Naib juara Piala Malaysia musim lalu itu bakal berhadapan dengan Negeri Sembilan bagi aksi suku akhir nanti.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi hambar ekoran keadaan padang yang basah dan lecak akibat hujan lebat sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Melaka yang membawa misi sukar bertempur dengan TFC bermula garang untuk memburu gol bagi mendekatkan agrerat namun percubaan penyerang, Abdul Azim Rahim tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Muhammad Rahadiazli Rahalim pada minit keempat.

TFC yang memiliki bekalan selesa tidak ketinggalan menyusun serangan menerusi trio Safawi Rasid, Akhyar Rasid dan pemain import, Nelson Wilfredo Bonnilla namun tidak terhasil untuk menambah agregat.

Pemain pertahanan skuad Sang Penyu, Muhammad Safwan Mazlan hampir memecah kebuntuan namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gawang Negeri Sembilan, Ameerul Eqhwan Mohd. Fauzi pada minit ke-34.

Pemain kebangsaan, Safaw mempunyai deretan peluang pada minit ke-43, 48 dan 53 namun gagal memecah kebuntuan menerjah gawang Melaka FC.

Bonilla turut mempunyai beberapa peluang yang terhidang pada minit 56 dan 62 tetapi gagal menewaskan ketangkasan Ameerul Eqhwan menjaga pintu gol. – UTUSAN

Scroll to Top