Piastri, Norris perlu waspada ancaman Verstappen

Piastri, Norris perlu waspada ancaman Verstappen

Austin: Oscar Piastri dan Lando Norris kini tidak lagi perlu bimbang mengenai kejuaraan pengeluar ketika mereka bersaing merebut gelaran juara pemandu Formula Satu (F1), namun pasangan McLaren itu tetap perlu berwaspada terhadap ancaman Max Verstappen di Texas hujung minggu ini.

Litar Americas di Austin menandakan bermulanya suku terakhir musim ini, yang pertama daripada tiga baki perlumbaan pecut Sabtu, selain menjadi perlumbaan pertama sejak McLaren menjuarai kejuaraan pengeluar buat tahun kedua berturut-turut.

Pemandu Australia, Piastri kini mendahului rakan sepasukan dari Britain itu dengan kelebihan 22 mata berbaki enam daripada 24 pusingan keseluruhan, manakala pemandu Red Bull, Verstappen ketinggalan 63 mata di belakang pendahulu.

Walaupun tugas juara dunia empat kali itu tampak mustahil, hakikatnya Verstappen berjaya merapatkan jurang sebanyak 41 mata daripada Piastri dalam tiga perlumbaan terakhir, selain menewaskan kedua-dua pemandu McLaren dalam semua perlumbaan berkenaan.

Austin sememangnya menjadi ‘litar kegemaran’ Verstappen yang pernah menang di situ pada 2021, 2022 dan 2023, sebelum Ferrari mencatat keputusan satu-dua tahun lalu menerusi Charles Leclerc dan Carlos Sainz.

Bagaimanapun, Verstappen tetap menjuarai perlumbaan pecut pada 2024 dan tidak boleh diketepikan kali ini tiba di Austin dengan empat podium berturut-turut.

“Sewaktu kami berharap kejuaraan ini hanya tertumpu kepada dua pemandu kami, Max masih lagi berada dalam persaingan,” kata bos McLaren, Zak Brown selepas pasukan itu mengesahkan gelaran pengeluar di Singapura.

Selepas perlumbaan itu, timbul pelbagai spekulasi bahawa ‘perang dalaman’ antara dua pemandu McLaren akan menjadi semakin sengit dalam perebutan kejuaraan, namun pengurusan pasukan menegaskan bahawa ‘Peraturan Betik’ masih diguna pakai.

“Strategi kami tidak akan berubah hanya kerana kami sudah menjuarai pengeluar. Kami akan mendekati baki hujung minggu perlumbaan dengan cara yang sama seperti sebelum ini,” ujar Brown.

Ia bermaksud peluang sama rata diberikan kepada kedua-dua pemandu dan falsafah ‘berlumba, tetapi jangan berlanggar’ terus dikekalkan.

Norris, yang meraih petak pertama di Austin tahun lalu namun menamatkan saingan di tempat keempat dengan Verstappen ketiga, bakal menanggung kerugian besar sekiranya berlaku perlanggaran antara dia dan Piastri memandangkan pemandu Britain itu perlu mengurangkan jurang mata terhadap pesaingnya dari Australia.

Pencapaian terbaik Piastri di Austin pula ialah tempat kelima tahun lalu selepas gagal meraih sebarang mata dalam perlumbaan pecut apabila menamatkan saingan di tangga ke-10 daripada kedudukan ke-16 di petak permulaan dan kali ini dia berisiko menamatkan tiga perlumbaan berturut-turut tanpa podium.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top