am@hmetro.com.my
Gua Musang: Runtun hati seorang bapa apabila mendengar permintaan anak perempuannya yang berusia tujuh tahun untuk bersekolah, namun tidak dapat ditunaikan.
Perasaan Mohamad Firdaus Abdullah, 36, pilu saat mendengar hasrat anak bongsunya, Allzera Julaini Intan, 7, yang ingin bersekolah seperti kanak-kanak lain, tetapi impian itu terpaksa dipendam kerana masalah kewarganegaraan yang dihadapi dia dan isterinya.
Empat anaknya, Muhammad Aidil Idhan, 12; Nur Ailla Laila, 9; dan Nur Alia, 8; termasuk Allzera Julaini Intan hanya bersekolah sehingga Tadika kerana status mereka bukan warga negara.
Menurut Firdaus, kerana masalah keluarga yang dihadapi ibu bapanya menyebabkan dia gagal memohon kad pengenalan dengan status warga negara sedangkan empat lagi adik-beradiknya yang lain mempunyai kad pengenalan.
Katanya, kerana masalah yang dihadapinya menyebabkan empat anaknya tidak dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain.
“Perasaan saya sangat sedih bila anak cakap dia nak sekolah apabila lihat kawan-kawan membuat persiapan persekolahan dengan pakaian dan kelengkapan persekolahan baharu.
“Allzera Julaini sempat bersekolah di Tadika berhampiran rumah ini tahun lalu dan sepatutnya dia memulakan persekolahan darjah satu tahun ini namun saya tidak boleh mendaftarkan dia.
“Anak sulung juga tidak menyambung persekolahan selepas tamat sekolah di Tadika kerana masalah status kewarganegaraan. Jadi, besar impian saya untuk melihat anak-anak bersekolah seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika di temui di Kampung Batu 2, di sini.
Mohamad Firdaus berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi membolehkan anak-anaknya menyambung persekolahan, namun usaha itu gagal kerana anak-anaknya berstatus bukan warga negara.
Katanya, dia berharap ada pihak yang sudi tampil menyelesaikan masalah keluarganya itu dan sekali gus memberi peluang untuk anak-anak bersekolah seperti kanak-kanak lain.
“Hati bapa mana yang tidak sedih apabila berulang kali anak meminta untuk bersekolah sedangkan hasrat itu saya tidak dapat tunaikan. Saya harap ada peluang untuk anak-anak saya menyambung pelajaran mereka diperingkat rendah dan menengah,” katanya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pada 2020, Mohamad Firdaus pernah hadir ke Pusat Khidmat ADUN Galas bagi mendapatkan surat sokongan untuk membolehkan anak mendaftar ke sekolah, namun tidak pernah diberitahu bahawa permohonan itu gagal.
Katanya, beliau akan berusaha bagi membolehkan anak-anak keluarga terbabit dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain seusia mereka.
“Isunya dia dan isteri bukan warga negara termasuk anak-anak mereka, namun kita akan mencari jalan bagi memastikan hasrat dan impian anak-anak ini untuk bersekolah tercapai.
“Saya sudah bertanya prosedur yang berkaitan untuk mendaftar mereka dan nampaknya ada jalan untuk kita bantu. Saya harap pihak berwajib dapat membantu memudah dan melicinkan urusan permohonan dan pendaftaran mereka ke sekolah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




