mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Langkah mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025, bertujuan untuk meluaskan kuasa perbadanan terbabit.
Perkara ini dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dalam pertemuan bersama media di Bungalow37, Jalan Abdullah, di sini, hari ini.
Azmir berkata, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) pernah melalui dua pindaan, namun ayat-ayatnya masih mengguna pakai ayat lama.
“Itulah sebabnya kita buat. Itu editorial, maksudnya kita nak perjelaskan dengan lebih jelas skop akta ini. Iaitu skopnya sepatut merangkumi AI (teknologi kecerdasan buatan), merangkumi platform baru digital dan sebagainya.
“Walaupun skop dia nampak besar, termasuk dengan media sosial, tetapi bila kita jelaskan iaitu kita punya peraturan pelesengan hanya merangkumi ataupun skopnya hanya untuk produksi yang membabitkan ‘production process’
dan komersial sahaja.
“Maksudnya, influencer media sosial, ‘content creators’ (pencipta kandungan) tak termasuk dalam pelesenan. Dalam pelesenan kita masih tertumpu yang terdahulu,” katanya.
Menurutnya, hanya produksi-produksi yang membabitkan lebih daripada lapan hingga 10 kru dalam satu-satu masa perlu memohon lesen.
“Ia kerana kita nak memang daripada awal sampai sekarang, Akta FINAS kita fokus kepada aktiviti penggambaran dan juga melindungi pekerja kru tersebut.
“Daripada pengarah, pelakon, penulis skrip, editor. Lepas itu program-program pembangunan FINAS ke arah tersebut. Itu yang kita memang perjelaskan lagi.
“Saya juga ingin menyatakan bahawa FINAS dan Akta tak pernah menyekat kreativiti, daripada dulu sampai sekarang. Sebab bahagian content tentang penapisan di bawah agensi lain,” katanya.
Azmir berkata, FINAS mahu menggalakkan lagi aktiviti dan turut memperkenalkan program terbaru seperti Belia Kreatif Madani dan program TikTok.
“Memang kita nak memeriahkan dan menjadikan industri ini lebih ‘vibrant’ dan ‘colourful’. Sebab itulah kami lebih banyak membabitkan bakat muda ini dalam program kami, media sosial dan sebagainya, tapi tidak dimasukkan dalam pelesenan FINAS.
“Pelesenan FINAS hanya tertumpu kepada projek komersial yang nak buat produksi untuk RTM, Media Prima, stesen TV, untuk masuk ke pawagam, untuk masuk ke streaming channel, yang itu perlu permit dan pelesenan.
“Berkenaan ‘content creator’ akta ini memang definisi ada, tetapi pelesenan ataupun penguatkuasaan itu tidak. Kita tak nak mengawal mereka,” katanya.
Menurutnya, mereka tidak perlu mendaftar di bawah FINAS kerana tidak diperlukan lagi buat masa sekarang dan mereka masih bebas berkreativiti dan sebagainya.
Terdahulu Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 bagi meluaskan kuasa perbadanan itu, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 November lalu dan bacaan kedua dijangka akan dibentangkan esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




