am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Cadangan memindahkan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari Langkawi ke lokasi lain adalah usaha penambahbaikan bagi memastikan acara berkenaan dapat dianjurkan di lokasi lebih luas dengan kemudahan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain faktor keluasan tapak dan kemudahan, persaingan daripada negara jiran yang turut menganjurkan acara seumpama perlu diambil kira.
Beliau berkata, tanpa penambahbaikan berterusan, LIMA berkemungkinan tidak mendapat penyertaan seperti yang diharapkan.
“Persaingan untuk penganjuran acara seperti ini sangat-sangat kuat. Kalau kita tidak tingkatkan kemudahan, keluasan kawasan dan sebagainya, ramai mungkin tak akan menyertai sebab Indonesia buat, Vietnam buat, Thailand buat, semua buat.
“Jadi, atas sebab itu, kita kena sentiasa lakukan penambahbaikan. Ini soal kawasan dan kita tengok pun kemudahan-kemudahan sebagainya kita perlu bertaraf antarabangsa dan perlu diperbaiki.
“Kalau misalnya di Langkawi itu terlalu kecil, maka kita kena cari (lokasi). Kalau tidak, memang penyertaan-penyertaannya kurang seperti yang kita harapkan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, semalam.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, antara kawasan dilihat sesuai untuk penganjuran LIMA pada masa akan datang ialah Klebang, Melaka.
Bagaimanapun, katanya, perkara berkenaan bukan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya tak cakap esok lusa. Saya cakap pasal akan datang,” katanya.
Khamis lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, LIMA sudah mempunyai kekuatan jenama tersendiri di Langkawi dan masih relevan untuk dianjurkan di pulau berkenaan pada masa depan.
Katanya, sebarang kekurangan dalam penganjuran LIMA seharusnya diperbaiki dan bukannya dijadikan alasan untuk menghentikan pameran berkenaan.
Mengulas lanjut lokasi Klebang, Mohamed Khaled berkata, kawasan itu boleh digunakan terlebih dahulu bagi penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) yang diadakan setiap dua tahun.
“Setiap dua tahun, kita buat DSA di Kuala Lumpur. Jadi, mungkin DSA itu dulu boleh dianjurkan di situ (Klebang) tetapi ia memerlukan pelaburan dengan pusat konvensyen dan juga pameran yang sangat-sangat besar.
“Kalau kita lihat sekarang, kita buat DSA di bangunan bertingkat. Tetapi, kalau kita lihat di Abu Dhabi dan sebagainya, ia di kawasan yang betul-betul satu tingkat dan di luar semua kenderaan-kenderaan pertahanan dipamer dan ditunjukkan.
“Di Kuala Lumpur, semua kenderaan dibuat di dalam dan ia tidak cukup untuk menampung. Saya hanya beritahu, kalau kita tidak buat begini, ramai tidak akan menyertai pameran yang kita jayakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
