latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menyanjung Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu atas kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik tanah air dalam tempoh singkat.
Presidennya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Noor, berkata keputusan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri (PM) kesembilan adalah tindakan terbaik bagi memastikan rakyat dan negara berada dalam keadaan aman serta harmoni.
Beliau berkata, PINTAR ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menggunakan kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan kemelut politik tanah air, terutama hal berkaitan pelantikan PM yang baharu ini.
“PINTAR juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang turut berkenan atas keputusan yang diambil.
“Pelantikan PM mengambil masa hanya kira-kira lima hari sahaja selepas PM kelapan,iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin meletakkan jawatan pada Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Roslan berharap Ismail Sabri dapat melantik ahli Kabinet dengan segera bagi meneruskan usaha dan perancangan untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.
“Usaha sebelum ini seperti program vaksinasi perlu dipertingkatkan ke setiap negeri bagi memastikan kita mencapai imuniti kelompok dengan cepat.
“Melalui cara ini, kita akan melihat kembali pembukaan sektor ekonomi, sektor sosial serta sektor lain dapat dilakukan sebaiknya.
“PINTAR turut mencadangkan supaya ahli Kabinet sebelum ini yang menunjukkan prestasi baik dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri yang baharu juga perlu memastikan pasukan dalam Kabinet nanti adalah dalam kalangan mereka yang berintegriti, tidak terbabit dengan masalah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat untuk terus mendokong kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan kelak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




