Pintu BAM belum tertutup buat Tze Yong

Pintu BAM belum tertutup buat Tze Yong

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun bakal meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 30 Jun ini, perjalanan Ng Tze Yong bersama skuad kebangsaan mungkin belum berakhir sepenuhnya.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen memberi bayangan bahawa pemain berusia 26 tahun itu sentiasa dialu alukan untuk kembali menyarung jersi negara sekiranya berjaya mengembalikan tahap kecergasan dan prestasi terbaiknya.

Bagi Jonassen, keputusan untuk menamatkan kerjasama itu bukan sesuatu yang dibuat dalam sekelip mata kerana ia lahir daripada beberapa siri perbincangan yang panjang, telus dan dipenuhi rasa saling menghormati antara kedua dua pihak.

Mengakui sukar melepaskan pemain berbakat seperti Tze Yong, jurulatih dari Denmark itu berkata, pemain berkenaan sebenarnya adalah antara individu yang paling dinantikannya untuk dibimbing sebaik menyertai BAM pada 2024.

“Kami sudah melalui beberapa siri perbincangan dan ia adalah satu proses yang sangat baik dengan penuh kejujuran serta pertimbangan yang mendalam sebelum keputusan ini dibuat.

“Secara peribadi memang sukar untuk kehilangan pemain yang memiliki kualiti dan potensi besar seperti Tze Yong kerana ketika saya datang ke sini pada 2024, dialah antara pemain yang paling saya nantikan untuk dibimbing.

“Namun, kecederaan mengubah segala galanya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Sejak dibelenggu kecederaan belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL), karier Tze Yong tidak lagi berkembang seperti diharapkan sehingga memaksanya berehat panjang daripada saingan kompetitif.

Namun, Jonassen percaya episod sukar itu tidak semestinya menjadi penamat kepada perjalanan bekas perseorangan nombor satu negara berkenaan.

Menurutnya, sekiranya Tze Yong mampu memulihkan keadaan fizikal dan kembali memiliki keinginan tinggi untuk bersaing, peluang untuk bangkit semula masih terbuka luas.

“Jika dia berjaya mendapatkan semula tahap kecergasan dan keadaan fizikalnya, saya benar benar percaya masa depannya masih sangat cerah kerana semua itu bergantung kepada keinginan dan kekuatan yang datang daripada dirinya sendiri.

“Perseorangan lelaki di peringkat tertinggi sangat mencabar dan memerlukan tahap kecergasan yang luar biasa. Jika dia sanggup terus mencari had keupayaannya sendiri, saya percaya dia masih mampu mencapai potensi sebenar,” katanya.

Pada masa sama, Jonassen menjelaskan pemergian Tze Yong tidak memberi kesan besar terhadap perancangan semasa skuad perseorangan lelaki kerana pemain itu masih menjalani proses pemulihan dan belum kembali ke gelanggang pertandingan.

Apa yang lebih penting, beliau tidak pernah menganggap perpisahan itu sebagai noktah muktamad.

Sebaliknya, Jonassen menegaskan beliau sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada semua pemain dan Tze Yong tidak terkecuali sekiranya mahu kembali menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

“Saya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka dan jika suatu hari nanti dia kembali berada pada tahap terbaiknya, dia tahu dia sentiasa dialu alukan di sini. Katakan sahaja saya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka,” katanya.

Kelmarin, BAM mengesahkan Tze Yong akan meninggalkan skuad kebangsaan berkuat kuasa 30 Jun ini selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.

Keputusan itu menutup satu bab penting dalam karier pemain berusia 26 tahun berkenaan yang pernah melonjak sehingga ranking ke 14 dunia sebelum perjalanan cemerlangnya terencat akibat kecederaan lutut yang dialami sejak Malaysia Masters 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top