am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Soal mencari pengganti atau jodoh bukan lagi perkara utama dalam hidup pengarah dan penerbit, Erma Fatima.
Bagi Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, dia belum bertemu lelaki yang dianggap secocok selepas berpisah dengan bekas suami, Bade Azmi.
“Jodoh itu tidak ada dalam senarai hidup saya. Tidak ada orang boleh gantikan Bade.
“Saya tidak fikir ada lelaki yang boleh faham saya seperti mana Bade. Jadi, tidak mungkin ada orang dapat gantikan tempat Bade, buat masa ini.
“Saya berdoa, ya Allah, ya Tuhan, janganlah kau duga aku. Tetapi, itulah yang nyata dan pasti buat masa ini,” katanya ditemui selepas mengendalikan penjurian bagi pusingan akhir Pencarian Pelakon Drama Sangat di Balai Berita, Bangsar di sini.
Erma mengakui kesibukan jadual seni membuatkan dia tiada masa memikirkan soal mencari pasangan.
“Tidak pernah ada dalam fikiran saya untuk mencari (pasangan) kerana mungkin sebab kehidupan saya adalah berkisar kerja sahaja.
“Jadi, saya tiada masa untuk lelaki dan saya fikir, tiada lelaki berani datang dekat dengan saya. Mereka kata saya garang,” katanya.
Sebelum ini, adik Erma, iaitu Datin Seri Umie Aida memuat naik hantaran dalam media sosial, mencarikan kakaknya seorang suami.
“Kakak kita degil sedikit. Tak tahu nak jaga kesihatan. Makan dan tidur selalu lambat. Asyik kerja, kerja. Sebelum datang New Zealand, tekanan darah tinggi. Risau kita. Tengoklah sendiri, apa yg dia peluk itu, laptop!
“Rasanya saya kena carikan dia jodoh. Supaya teratur sikit gaya hidup sihat. Ada sesiapa yang masih bujang atau duda yang ‘available’?” tulis Umie di hantarannya.
Mengulas mengenai hantaran itu, Erma berkata, adiknya itu sering mengusiknya mengenai jodoh.
“Dia (Umie) itu gatal, macam tak ada kerja lain. Macamlah saya ini tak boleh nak jaga kesihatan saya sendiri. Sepanjang di New Zealand, dia asyik hendak cerita pasal jodoh saja,” katanya.
Erma mengaku berkawan dengan beberapa lelaki, namun, tiada yang lebih daripada itu.
“Pintu hati saya ini sudah tertutup dan belum terbuka buat masa sekarang. Belum ada lelaki yang saya fikir layak,” katanya.
Erma dan Bade atau nama sebenar, Badaruddin Azmi mendirikan rumah tangga pada 1991, namun, bercerai pada 2015.
© New Straits Times Press (M) Bhd




