
Wan Arif (kiri) dan Roy King masih memiliki ruang untuk menembusi skuad Sukan Asia 2026. Foto: Bernama
PASANGAN muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King masih memiliki ruang untuk menembusi skuad Sukan Asia 2026, namun mereka perlu membuktikan kemampuan secara konsisten dalam tempoh terdekat.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memberi bayangan peluang itu tetap terbuka tetapi persaingan sengit dalam kalangan pemain senior dan berpengalaman menjadikan laluan mereka lebih berliku.
Ini kerana hanya dua pasangan akan dipilih bagi menggalas cabaran negara dalam acara berpasukan, berbanding tiga gandingan yang dibenarkan dalam Piala Thomas baru-baru ini.
Situasi itu meletakkan Wan Arif-Roy King dalam keadaan perlu segera menonjolkan peningkatan ketara, terutama dalam kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia BWF dan siri Jelajah Dunia BWF yang bakal berlangsung.
“Peraturannya setiap negara cuma boleh maksimum dua pasangan, jadi kita akan pilih yang terbaik.
“Yang ada sekarang ini ialah pemain yang kita siapkan tetapi sebelum Sukan Asia masih ada beberapa kejohanan penting untuk kita nilai kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Herry menegaskan faktor kecergasan dan kestabilan permainan turut menjadi antara penentu utama, sekali gus menuntut setiap pasangan berada pada tahap terbaik menjelang temasya Sukan Assia 2026.
Sukan Asia 2026 akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober di Aichi-Nagoya, Jepun.



