bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti rentas daerah dan rentas negeri membabitkan pasangan jarak jauh (PJJ) sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama selama dua minggu, bermula Selasa ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasangan PJJ terpaksa ‘berkorban’ buat sementara sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh dilaksanakan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Beliau berkata, untuk aktiviti rentas negeri dan daerah oleh pihak yang mendapat surat kebenaran bekerja dan sebagainya, surat kebenaran diberikan sebelum ini tidak akan terpakai bermula Selasa ini.
“Kebenaran akan ditamatkan pada esok dan kementerian akan mengeluarkan surat baharu berkaitan bekerja.
“Bagaimanapun, kita membenarkan rentas negeri membabitkan kes berkaitan kes kecemasan seperti kematian, keluarga sakit, nazak dan sebagainya dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media Perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perkembangan Semasa COVID-19 di sini, hari ini.
Katanya, ada dua sumber saja yang boleh mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri dan daerah iaitu kementerian yang berkaitan dengan bidang kerja serta pihak PDRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




