Oh! Tidak
PKBM gesa siasatan terhadap ugutan pengguna jalan raya yang mahu langgar penunggang basikal secara sengaja.
Zaman sekarang, bukan setakat nak elak pothole pun susah, tapi dah ada pula geng jalan raya yang bangga ajak orang langgar penunggang basikal?
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dah tak boleh tahan. Diorang siap minta polis siasat segera selepas satu video tular memaparkan pertelingkahan panas antara pengayuh basikal dan pemandu bas di Kuala Selangor.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill cakap ugutan dalam media sosial tu bukan bahan lawak, ia satu bentuk jenayah yang ancam nyawa penunggang basikal.
Hantaran berkenaan adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan bersifat ugutan jenayah yang mengancam nyawa ribuan penunggang basikal yang menggunakan jalan raya awam setiap hari.- Tegas beliau dalam kenyataan media.
Amarjit menjelaskan bahawa sebarang kemalangan yang disengajakan terhadap penunggang basikal menggunakan kenderaan bermotor boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Penunggang basikal ada berhak sebagai satu kumpulan pengguna jalan raya.”- PKBM.
PKBM juga tidak memandang ringan insiden tular baru-baru ini yang menunjukkan pertelingkahan antara beberapa penunggang basikal dan seorang pemandu bas, dipercayai berlaku di Kuala Selangor.
Menurut Amarjit lagi, aktiviti berbasikal di jalan awam adalah dibenarkan, kecuali di tempat-tempat yang telah diwartakan sebagai larangan seperti lebuh raya atau kawasan yang ada papan tanda pengharaman.
Semua pihak diharap dapat bertenang dengan tidak mengambil tindakan di luar undang-undang dan PKBM pada masa yang sama sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan sebagai pertimbangan utama di dalam semua aktiviti berbasikal, sama ada untuk tujuan sukan atau riadah.- Jelasnya lagi.
Penunggang basikal juga perlu patuh peraturan dan lebih berwaspada…
Bagi memastikan keselamatan, PKBM turut mengingatkan semua penunggang agar mematuhi peraturan lalu lintas serta memakai topi keledar yang diiktiraf, menggunakan lampu hadapan dan belakang, serta memakai pakaian berwarna cerah agar mudah dilihat.
Selain itu, mereka disarankan berkayuh secara satu barisan dan menggunakan lorong motosikal atau bahu jalan sekiranya ada.
PKBM juga menyarankan penunggang basikal supaya sentiasa mengambil pendekatan bersifat berwaspada untuk memitigasi risiko kemalangan dengan kenderaan bermotor, lebih-lebih lagi di laluan yang digunakan secara lazim oleh kenderaan berat dan menasihati penunggang basikal untuk tidak bertindak agresif serta bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain.- Katanya.
Insiden yang menjadi tular itu menunjukkan sekumpulan penunggang basikal terlibat dalam pertelingkahan dengan seorang pemandu bas dipercayai kerana isu laluan. Nasib baik anggota JPJ kebetulan melalui jalan itu dan berjaya meleraikan keadaan.
Menurut polis, mereka telah menerima laporan daripada kedua-dua pihak, pemandu bas dan salah seorang penunggang basikal terbabit.
Pssttt! orang yang kaki kayuh basikal, ingat keselamatan bukan sekadar tanggungjawab pemandu je. Penunggang pun kena tahu hak dan ikut undang-undang jalan raya. Jangan sampai kita jadi mangsa atau punca kemalangan. Kepada pengguna jalan raya lain pula, elakkan provokasi dan hentikan budaya menghasut. Semua kita guna jalan yang sama, jadi hormat-menghormati tu penting. Jom kita jadi pengguna jalan raya yang lebih bertanggungjawab dan matang.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!








