bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kakitangan bahagian operasi syarikat bekalan air dan pembetungan, akan bertugas seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan sekatan lebih ketat.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan, semalam, memaklumkan kakitangan di bahagian terbabit akan beroperasi secara penuh memandangkan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan adalah bawah kategori penting.
“Ia meliputi operasi di loji, penyelenggaraan rangkaian paip agihan, pengurusan air tidak berhasil (NRW) serta urusan membaca meter atau pengebilan.
“Ini adalah bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan tidak terjejas serta diteruskan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, setiap operator diwajib memastikan semua warga kerja mereka mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan dalam menjalankan tugasan masing-masing.
Bagi kakitangan di bahagian pentadbiran atau pengurusan pula, katanya, pengoperasian akan mematuhi saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), iaitu kakitangan yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa tidak melebihi 60 peratus untuk swasta dan 20 peratus bagi agensi kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




