PKP tak jejas pembangunan projek Glomac

zahrin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan awal tahun ini bagi membendung COVID-19 tidak menjejaskan pembangunan projek hartanah Glomac Bhd.

Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib, berkata walaupun menghadapi cabaran ketika pandemik seperti arahan penghentian kerja pada permulaan PKP dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, dua projek kumpulan iaitu Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences masih berada dalam landasan tepat.

“Malah, dari segi kadar penyiapan juga kami mendahului beberapa hari ke hadapan sasaran untuk kedua-dua hartanah bertingkat itu.

“Prestasi luar biasa projek kumpulan adalah hasil kerja keras pasukan dan kontraktor dalam mengatasi halangan yang timbul akibat pandemik,” katanya dalam taklimat media Glomac secara maya, semalam.

Terletak di tengah-tengah Petaling Jaya, pangsapuri servis 121 Residences dilancarkan pada Ogos 2019 yang terdiri daripada dua menara 32 tingkat iaitu Menara A sebanyak 445 unit dan Menara B sebanyak 389 unit dengan harga bermula RM333,000.

Kadar pengambilan 121 Residences ketika ini sudah merekodkan 75 peratus.

Pembeli juga dapat menikmati manfaat Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan harga yang sangat berpatutan untuk pemilik rumah pertama dan profesional yang muda.

121 Residences mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM327 juta.

Sementara itu, Plaza@Kelana Jaya sudah mecatatkan kadar pengambilan sebanyak 83 peratus dan projek itu dijangka siap pada 2022.

Plaza@Kelana Jaya mempunyai 696 unit pangsapuri servis dan SOHO, serta mempunyai 16 unit pejabat kedai tiga tingkat dengan GDV RM347 juta.

Mengulas lanjut mengenai cabaran pasca pandemik dalam sektor hartanah, Zulkifly berkata, pemaju hartanah perlu menyediakan kemudahan yang bersesuaian dengan kehendak pembeli semasa, terutama pasca pandemik COVID-19.

Beliau berkata pandemik COVID-19 serta PKP memberi banyak perubahan kepada keperluan dan kehendak pembeli terhadap kemudahan yang disediakan oleh pemaju.

Antara kehendak terkini pembeli, katanya, adalah ruangan kemudahan istirahat yang luas seperti taman dan padang permainan, selain kemudahan sambungan internet dan ruang untuk bekerja.

COVID-19 juga, katanya, mengubah kebiasaan sebelum ini seperti bekerja dari rumah dan keterbatasan pergerakan.

“Lantaran itu, pembeli juga mahu kemudahan sebegini dalam pembelian rumah terutama hartanah bertingkat. Trend baharu ini menjadi elemen penting dan Glomac juga sentiasa memberikan kemudahan yang terbaik mengikut kehendak semasa.

“Setiap projek hartanah bertingkat kumpulan juga mempunyai binaan dalaman akses internet. Glomac juga menjalin kerjasama dengan syarikat utiliti internet negara dalam perkara ini.

“Ini membolehkan setiap unit rumah mempunyai binaan dalam akses internet, tidak perlu lagi pemasangan baharu. Kemudahan gaya hidup seperti padang permainan juga lebih besar dan pelbagai selain penyediaan ruangan kerja kepada penghuni,” katanya.

Zulkifly berkata, sektor hartanah dijangka kembali pulih tahun ini berdasarkan kepada jualan projek hartanah Glomac.

Bagaimanapun, tegasnya, sektor hartanah dan pemaju masih berhati-hati selain sentiasa memantau situasi semasa pandemik itu.

“Kekal berhati-hati dan sentiasa mengikut kehendak terkini pembeli. Glomac juga merancang akan melancarkan projek hartanah baharu pada suku keempat tahun ini atau seawal 2022.

“Ini kerana, kumpulan ingin mengawasi keadaan pandemik serta kehendak pembeli terlebih dulu sebelum melaksanakan tindakan seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd