PKPB, jumlah jemaah masjid, surau di Selangor ditambah

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat ketetapan khas pertambahan bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Jumaat ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, terdapat lima kategori masjid dan surau yang diutamakan iaitu Masjid Pengurusan, Masjid Institusi, Masjid Kariah, Surau Kebenaran Jumaat dan Surau Kariah.

Jelas beliau, bagi Masjid Pengurusan, jumlah jemaah dibenarkan solat Jumaat mulai 5 Mac ini ialah 350 orang, manakala untuk solat fardu lima waktu yang bermula Maghrib hari ini, 100 orang.

Ini diikuti solat Jumaat di Masjid Institusi seramai 350 jemaah dan fardu 200 orang; Masjid Kariah Jumaat (300), fardu (100); Surau Kebenaran Jumaat (100), fardu (50); manakala Surau Kariah kelonggaran hanya untuk solat fardu sahaja 50 jemaah.

“Jumlah itu termasuk pentadbir masjid dan surau, manakala ahli kariah pula diberikan keutamaan kepada mereka yang bermastautin. Bagi jemaah bukan warganegara dilarang sama sekali hadir.

“Kehadiran jemaah hendaklah dibuat melalui kaedah kehadiran aplikasi yang bersesuaian dengan masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mulai Jumaat ini, tiada lagi negeri yang tertakluk di bawah pelaksanaan PKP termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang apabila dilonggarkan kepada PKPB.

Menurut Mohd Shahzihan, kelonggaran itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor seperti pelaksanaan PKPB, penurunan kes, kepatuhan pentadbir masjid dan surau terhadap SOP dan tahap kawalan kendiri individu, suntikan vaksin dan penguatkuasaan oleh agensi pemantau yang ketat.

“Dengan ini, JAIS mendapati wajar institusi masjid dan surau di Selangor dapat dibuka kembali secara berperingkat dengan ketetapan khas dan SOP memakai penutup mulut dan hidung, bersih tangan dengan sanitizer, membawa sejadah sendiri, berwuduk di rumah. “Segala aktiviti mengimarahkan masjid dan surau masih dilarang,” katanya. Sumber–MG

Malay News
National Desk