PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Sabah, bagi mengawal penularan COVID-19, bermula 30 Mei hingga 12 Jun ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD yang dilaksanakan di Terengganu, membabitkan 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu iaitu Mukim Manir, Mukim Bukit Besar, Mukim Pengadang Buluh, Mukim Belara, Mukim Paloh, Mukim Kubang Parit, Mukim Serada, Mukim Rengas, Mukim Chendering, Mukim Bandar, Mukim Chabang Tiga, Mukim Kepong, Mukim Gelugur Kedai, Mukim Kuala Ibai, Mukim Atas Tol, Mukim Tok Jamal, Mukim Losong, Mukim Batu Buruk, Mukim Pekan Chabang Tiga, Mukim Pulau Pulau dan Mukim Gelugur Raja.
Beliau berkata, ia berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti terbabit.
“Selain itu, sebanyak 46 kes positif COVID-19 direkodkan hasil saringan bergejala dan ia dikesan hampir semua mukim dalam daerah Kuala Terengganu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 21 mukim seperti dinyatakan, berkuat kuasa 30 Mei sehingga 12 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut dikenakan PKD adalah FELDA Jengka 24, Jerantut, Pahang selepas KKM merekodkan 10 kes jangkitan susulan ujian saringan dilakukan terhadap 56 penduduk di lokaliti itu.
Ismail Sabri berkata, KKM juga mendapati berlaku penularan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Katanya, PKPD di Kampung Baru Melayu, Mukim Bentong, Bentong, Pahang dilakukan selepas KKM mengesan 25 kes direkodkan dalam tempoh singkat, hasil daripada 52 ujian saringan dengan kadar positiviti 48 peratus.
“PKPD akan dilaksanakan di Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru, Johor berikutan kadar positiviti yang tinggi iaitu 76.15 peratus di kawasan itu.
“Sebanyak 99 kes positif dikesan hasil daripada 130 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
“KKM hari ini juga melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di Taman Pertama dan Taman Serendah, Daerah Sabak Bernam, Selangor dan mengesahkan berlaku peningkatan ketara kes positif di lokaliti ini dalam tempoh singkat apabila sebanyak 113 kes direkodkan hasil daripada 1,237 ujian saringan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti di Tawau, Sabah membabitkan Kampung Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang amat ketara dalam masa singkat.
Beliau berkata, KKM merekodkan lapan kes positif COVID-19 di Kampung Pasir Putih Blok B daripada 16 individu disaring, di PPR Taman Sri Balung 18 kes positif daripada 23 ujian saringan manakala 11 didapati positif hasil saringan terhadap 30 individu di Kampung Baru Pasir Putih.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar terhadap penduduk terbabit dan memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan PKPD.
“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman web MKN di www.mkn.gov.my,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




