PKPD dikuatkuasakan di Kampung Tringgus, Sarawak mulai esok

PUTRAJAYA: Satu lokaliti di Bahagian Kuching Sarawak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok, kali ini Kampung Tringgus, Daerah Bau.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan laporan Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di situ.

“Sehingga semalam, sebanyak 596 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu, 37 kes positif Covid-19 telah pun direkodkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Justeru ujarnya, setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti ini sehingga 21 Mac depan.

Perintah selama tempoh dua minggu itu jelasnya, untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar ke atas 1,000 orang penduduk di lokaliti berkenaan.

Kadar kebolehjangkitan wabak dalam komuniti di perkampungan majoriti suku Bidayuh itu ujar beliau, adalah tinggi dan PKPD itu bagi mengawal pergerakan selain penularan baharu.

Kampung Tringgus terkenal dengan keindahan Air Terjun Bubot tidak jauh dari sempadan Wilayah Kalimantan Barat, Indonesia dan terletak 55 kilometer dari pusat bandar raya Kuching.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan PKPD di Kampung Tanah Merah, Daerah Kota Marudu, Bahagian Kudat di Sabah selama dua minggu lagi sehingga 22 Mac.

“Setakat hari ini, pihak Kementerian Kesihatan sudah melaksanakan 319 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” kata beliau.  

Malahan katanya, masih terdapat baki sejumlah 181 sampel ujian yang sedang menunggu keputusan dari makmal dan ada banyak kes positif dilaporkan berlaku di lokaliti berkenaan.

Sehubungan itu, jelas beliau, atas nasihat kementerian tersebut dan penilaian risiko pelbagai agensi, kerajaan bersetuju menyambung lagi PKPD yang sepatutnya berakhir pada esok.

Kampung Tanah Merah terletak berdekatan Sungai Matunggong dan dihubungkan dengan Jalan Kota Belud-Kudat serta jaraknya 134 kilometer dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Kebanyakan penduduknya merupakan etnik Kadazan Dusun selain Bajau, Melayu dan kaum Bumiputera lain yang melakukan aktiviti nelayan serta perdagangan laut di Teluk Marudu.

Sementara itu, Ismail Sabri menambah, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Emperoh Jambu, Daerah Padawan, Bahagian Kuching, Sarawak mengikut jadualnya esok.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster juga terkawal serta tiada lagi baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan ujian,” kata beliau.

Sehingga kini ujarnya, pihak kementerian tersebut telah melakukan sebanyak 368 ujian saringan dan daripada jumlah berkenaan, secara kumulatif hanya 38 kes yang direkodkan.

PKPD di situ bermula pada 23 Februari lalu dengan melibatkan 1,215 orang penduduk yang majoritinya etnik Bidayuh dan terletak cuma 60 kilometer sahaja dari ibu negerinya, Kuching. – UTUSAN ONLINE