bhnews@bh.co.my
KUALA LANGAT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Sains Banting, yang bermula hari ini hingga 7 Mei depan akan membabitkan keseluruhan kawasan sekolah berkenaan.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim, dalam satu kenyataan memaklumkan, kuarantin membabitkan seramai 966 orang terdiri daripada 836 orang pelajar, 70 orang guru, 21 orang staf, enam orang warden asrama, 20 pekerja dewan makan, enam pekerja pembersihan dan tujuh pekerja keselamatan.
“Kes Indeks pertama membabitkan seorang pelajar Tingkatan 1 yang mula dikesan bergejala pada 12 April dan disahkan positif pada 15 April manakala kes kedua dan ketiga yang dikesan positif pula adalah kontak rapat kepada kes pertama.
“Hasil dari tiga kes terdahulu yang dikesan, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menjalankan siasatan serta penilaian awal seterusnya menjalankan 206 ujian saringan awal ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu 71 orang pelajar disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PKD Kuala Langat juga mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
Jelasnya, PKD Kuala Langat juga sudah menjalankan 267 ujian saringan lanjutan semalam yang mana jumlah keseluruhan yang menjalani ujian saringan sehingga kini adalah seramai 473 orang.
“Selaras dengan arahan PKPD Sekolah Menengah Sains Banting, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah akan membuka Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kawasan PKPD ini yang beroperasi 24 jam.
“Sebarang pergerakan keluar dan masuk ke kawasan ini adalah tidak dibenarkan kecuali atas tujuan kecemasan namun perlu mendapatkan kebenaran dari PKOB terlebih dahulu.
“Semua penghuni di kawasan itu perlu mematuhi SOP yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




