PKR hargai sokongan BN, bukti Kerajaan Perpaduan Perak stabil

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak merakamkan penghargaan kepada Barisan Nasional (BN) dan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) atas sokongan penuh terhadap pemilihan Pengerusi mereka, Mohamad Hairul Amir Sabri sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri itu.

Jurucakap PKR Perak, Azam Afandi berkata, sokongan berkenaan membuktikan hubungan serta kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini berada dalam keadaan harmoni, utuh dan stabil.

Menurutnya, sokongan penuh 33 undi daripada blok kerajaan bukan sekadar memberikan mandat kepada seorang calon malah memperlihatkan kepercayaan yang diberikan kepada wakil PKR untuk membawa suara serta kepentingan rakyat Perak di Dewan Negara.

“PKR Perak turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan komponen PH khususnya DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara) serta rakan Kerajaan Perpaduan daripada BN Perak atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan.

“Sokongan penuh 33 undi daripada blok Kerajaan sekali lagi memperlihatkan bahawa hubungan dan kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Perak berada dalam keadaan harmoni, utuh dan stabil,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Azam yang juga Ketua Penerangan PKR Perak berkata, dalam suasana politik yang semakin mencabar, kestabilan dan keupayaan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama berasaskan kepercayaan serta kepentingan rakyat merupakan kekuatan yang perlu dipertahankan.

Jelasnya, PKR Perak akan terus memainkan peranan secara konstruktif bersama semua rakan dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik yang dinikmati ketika ini diterjemahkan kepada pentadbiran berkesan, pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu pemilihan Ahli Dewan Negara itu diputuskan menerusi undian bersurat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas blok pembangkang turut mengemukakan calon mereka iaitu Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Zulkifli Muhamad Zakaria.

Usul pemilihan Ahli Dewan Negara itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Nama Mohamad Hairul Amir, 38, dicadangkan Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja) yang kemudian disokong Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang).

Manakala Muhammad Zulkifli, 57, dicadang Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) dan disokong Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik).

Pemilihan Mohamad Hairul Amir diumum Speaker DUN, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas mendapat 33 undi mengatasi Muhammad Zulkifli yang memperoleh 26 undi.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria dalam sidang media selepas keputusan pemilihan itu memaklumkan pihaknya menerima dan menghormati keputusan pengundian berkenaan.

Katanya, keputusan pengundian tersebut tidak seharusnya menjejaskan hubungan serta usaha ke arah penyatuan ummah khususnya antara Pas dan UMNO.

 

 

 

Scroll to Top