PLMMSB, Blueshark Malaysia kerjasama perluas akses servis motosikal EV

PLMMSB, Blueshark Malaysia kerjasama perluas akses servis motosikal EV

PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB), anak syarikat PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) bersama syarikat usaha sama, Blueshark Malaysia Sdn Bhd (Blueshark) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini.

Kerjasama strategik itu bermula dengan penglibatan lima cawangan terpilih PETRONAS MotoExpert bagi menyokong perkhidmatan selepas jualan untuk motosikal elektrik (EV) Blueshark dan SoloEra, dengan peluasan dirancang secara berperingkat.

Ketua Pegawai Eksekutif PLMMSB, Mohd Zameer Zahur Hussain berkata, kerjasama dengan Blueshark mencerminkan komitmen untuk menawarkan kemudahan lebih baik, sokongan servis yang boleh dipercayai dan memberikan nilai tambah kepada pelanggan.

“Melalui PETRONAS MotoExpert, penunggang akan menikmati akses lebih baik kepada servis berkualiti seiring perubahan keperluan mobiliti.

“Bersama-sama, kami berhasrat menyediakan sokongan yang diyakini serta ketenangan fikiran kepada pelanggan sambil mengukuhkan komitmen kami dalam menjadikan kehidupan harian lebih mudah dan baik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kerjasama antara kedua-dua pihak selari dengan aspirasi lebih luas PDB dalam memajukan penyelesaian tenaga mampan dan menandakan langkah praktikal untuk memperkukuh sinergi merentasi ekosistem.

Ia mencerminkan fokus bersama dalam meningkatkan kemudahan pelanggan, meluaskan akses perkhidmatan serta mewujudkan lebih banyak titik akses bagi mobiliti kenderaan elektrik dua roda (2W-EV) di seluruh Malaysia sejajar dengan landskap mobiliti yang semakin berkembang.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan meneroka kerjasama dalam tiga bidang utama iaitu memperluaskan liputan perkhidmatan melalui penyedia servis sah dalam rangkaian PETRONAS MotoExpert, melaksanakan kempen pemasaran bersama, jelajah promosi dan inisiatif penglibatan pelanggan serta mewujudkan titik jualan dan servis baharu dengan memanfaatkan rangkaian di seluruh negara.

Kerjasama tersebut turut menggabungkan kepakaran mobiliti elektrik Blueshark dengan pasaran dan ekosistem perkhidmatan PLMMSB yang kukuh.

Ini sekali gus membantu meningkatkan keyakinan pemilikan sambil menyokong penggunaan lebih meluas dalam kalangan penunggang individu dan pengendali ‘fleet’ komersial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Blueshark Malaysia, Jeff Chong berkata, sejak menjadi sebahagian daripada ekosistem PDB, syarikat itu terus memperluaskan fungsinya merentasi segmen runcit, digital, ‘fleet’ dan infrastruktur.

“Kerjasama dengan PLMMSB ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperluaskan pemilikan praktikal 2W-EV di Malaysia.

“Dengan integrasi bersama lokasi PETRONAS MotoExpert yang dipercayai, kami dapat meningkatkan akses servis, mengukuhkan keyakinan pemilikan dan menyokong penggunaan lebih meluas, sekali gus memberikan nilai bermakna kepada golongan sasar,” ujar beliau.

Scroll to Top