PM Anwar imbas isu UEC 40 tahun lalu -“Sekarang, semua wakil sudah cakap dalam B. Melayu”

PM Anwar imbas isu UEC 40 tahun lalu -“Sekarang, semua wakil sudah cakap dalam B. Melayu”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan suasana rundingan melibatkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini jauh berbeza berbanding pengalamannya ketika menerajui Kementerian Pendidikan kira-kira 40 tahun lalu.

Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menyatakan, ketika itu sekolah-sekolah Cina dilihat terpisah sepenuhnya daripada landasan pendidikan kebangsaan malah pemimpin persatuan pendidikan enggan bertutur dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata, keadaan tersebut pernah menyebabkan Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Allahyarham Abdul Rahman Arshad berasa tersinggung sehingga bertindak meninggalkan majlis rundingan.

“Itu 40 tahun yang lalu. Tetapi pertemuan sekarang, semua wakil persatuan sudah bercakap dalam bahasa Melayu. Malah, lebih 80 peratus pelajar sekolah-sekolah Cina ini mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk SeriSaarani Mohamad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Anwar menegaskan keputusan kerajaan berhubung pengiktirafan UEC dibuat secara seimbang termasuk menetapkan syarat wajib lulus atau kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah.

Katanya, syarat tersebut turut terpakai kepada semua aliran sekolah termasuk sekolah antarabangsa, sekolah tahfiz dan sekolah aliran Arab.

“Dalam hidup ini mesti ada semangat tolak ansur. Yang kita tidak boleh tolak ansur adalah unsur bahasa. Mahu menjadi rakyat Malaysia, mesti faham bahasa kebangsaan, sejarah negara, Perlembagaan dan perjuangan kemerdekaan,” katanya.

Menteri Kewangan itu turut mengingatkan agar isu UEC tidak terus dipolitikkan sebaliknya mengutamakan semangat tolak ansur dan kasih sayang dalam membina sistem pendidikan yang inklusif.

“Jadi saudara-saudara, sudahlah. Negara ini perlukan guru yang fokus kepada pendidikan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian (Normawati Adnan)

Scroll to Top