Piala Dunia Sepak Takraw: Servis jadi fokus Malaysia buru momentum kuadran

Piala Dunia Sepak Takraw: Servis jadi fokus Malaysia buru momentum kuadran
Piala Dunia Sepak Takraw: Servis jadi fokus Malaysia buru momentum kuadran

Malaysia memulakan aksi Kumpulan C acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan langkah apabila menewaskan Singapura 2-0 di Stadium Titiwangsa pada Sabtu. Foto Bernama

SKUAD kuadran negara mahu memperkemaskan aspek servis dan penyudah serangan selepas membuka kempen Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dengan kemenangan ke atas Singapura di Stadium Titiwangsa pada Sabtu.

Walaupun menang straight set 15-9, 15-13 dalam aksi Kumpulan C, kem negara mengakui masih belum berada pada tahap terbaik terutama dari segi konsistensi permainan ketika berdepan tekanan lawan.

Kapten pasukan, Amirul Zazwan Amir berkata, rentak permainan yang sedikit perlahan perlu segera diperbaiki menjelang dua aksi lebih mencabar menentang Korea Selatan dan India esok.

Menurutnya, setiap kesilapan kecil memberi kesan besar dalam acara kuadran yang menyaksikan setiap pasukan memiliki peluang seimbang untuk mencipta kemenangan.

“Perlawanan hari ini agak perlahan dan kami perlu naikkan tempo untuk aksi esok. Korea dan India dijangka beri cabaran lebih sengit,” katanya.

Beliau turut mengakui aspek servis menjadi antara kelemahan yang perlu diperbaiki segera kerana ia memberi kesan kepada usaha mendapatkan mata awal dan mengawal rentak permainan.

“Servis sangat penting untuk dapatkan mata awal dan kawal permainan. Hari ini ada beberapa servis yang tidak menjadi seperti dirancang,” katanya.

Malaysia dibarisi Amirul Zazwan, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Muhammad Shahalri Aiman Halim dalam aksi pembukaan itu.

Skuad negara kini memberi tumpuan untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam baki aksi kumpulan.

Scroll to Top