PM Anwar tak setuju sistem beratur panjang terima bantuan -“Jangan anggap rakyat itu hamba”

PM Anwar tak setuju sistem beratur panjang terima bantuan -“Jangan anggap rakyat itu hamba”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan budaya rakyat terpaksa beratur panjang untuk menerima bantuan kerajaan perlu dihentikan kerana ia tidak lagi sesuai diamalkan pada masa kini.

Masa kini sudah tak sesuai

Memetik laporan daripada Bernama, beliau dengan tegas menyatakan rakyat perlu dilayan dengan penuh hormat dan tidak seharusnya dipaksa menunggu dalam barisan panjang bagi mendapatkan bantuan yang menjadi hak mereka.

“Saya tidak setuju kalau sekarang, tahun 2026, rakyat masih lagi perlu beratur (untuk terima bantuan). Ini bukan soal politik pilihan raya. Jangan anggap rakyat itu hamba …. Kita sekarang merdeka, berdaulat, rakyat ada harga, ada hak, ada kebebasan, ada semangat kemerdekaan,” ujarnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor, malam ini.

Beri keutamaan bantuan kerus ke akaun bank

Dalam pada masa yang sama, beliau menjelaskan Kerajaan MADANI kini memberi keutamaan kepada sistem penyaluran bantuan secara terus ke akaun bank penerima bagi memastikan kebajikan rakyat dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan bermaruah.

Menurutnya, kaedah lama yang memerlukan penerima hadir dan beratur untuk mendapatkan bantuan tidak lagi relevan ketika bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta bantuan awal persekolahan boleh dikreditkan secara langsung ke akaun penerima.

Anwar memaklumkan langkah tersebut bukan sahaja memudahkan rakyat, malah mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap maruah dan hak setiap warganegara.

Menerusi perkembangan sama, beliau turut menyentuh komitmen kerajaan dalam memastikan keadilan pendidikan menerusi jaminan kemasukan ke program matrikulasi kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tanpa mengira kaum.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi menghargai kecemerlangan pelajar serta menangkis dakwaan pihak tertentu yang cuba mempolitikkan isu berkenaan.

Anwar berkata jaminan kemasukan tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh semua wakil parti dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik kerana ia hanya akan memecahbelahkan masyarakat dan menjejaskan usaha membina masa depan pendidikan negara.

Menyentuh mengenai kemunculan parti baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Anwar berkata setiap pihak mempunyai hak untuk menubuhkan parti politik masing-masing.

Nak uji (sokongan) paling utama semasa pilihan raya. Parti banyak, tiap minggu ada parti baharu, masing-masing ada hak, tetapi saya nak tanya apa yang lain dan apa yang istimewa? Ini negara yang penuh cabaran (untuk ditadbir),” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya menggunakan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat dan bukannya yang terlibat dengan salah guna kuasa atau memainkan politik perkauman.

Sumber: Bernama 

Scroll to Top