PM Anwar tegaskan Raja tak boleh diturunkan dengan mudah -“Sistem Raja akan pupus!”

PM Anwar tegaskan Raja tak boleh diturunkan dengan mudah -“Sistem Raja akan pupus!”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan susulan kemelut membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tepis dakwaan campur tangan isu takhta

Memetik laporan daripada Berita Harian, Anwar menepis dakwaan kononnya beliau cuba campur tangan dalam urusan pemerintahan negeri itu, sebaliknya menjelaskan pendiriannya dibuat bagi memastikan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara terus dihormati.

Menurut beliau, tindakan untuk menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tidak boleh dilakukan dengan mudah kerana undang-undang Negeri Sembilan menetapkan pertukaran hanya boleh dilakukan atas sebab tertentu.

“Sebab itu Peguam Negara ambil keputusan tegas, tak boleh mudahkan (jatuhkan Raja).
“Bayangkan kalau mula di situ, esok Perdana Menteri dan Jemaah Menteri merasakan kita mahu tukar Agong, kita tulis kepada Raja-Raja Melayu kita tak setuju dengan Agong.
“Tak boleh, bukan kuasa Perdana Menteri (untuk buat keputusan begitu). Perdana Menteri (selaku) ketua eksekutif tadbir negara, ada had (kuasanya)…. dia tak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, bahasa Melayu, soal hak istimewa Melayu, soal Raja,” katanya.

Foto: FB YAPEIM

Beliau berkata demikian pada Majlis Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat di Pondok Mujamma’ Ibn Sunni Al-Talaqqi, malam tadi.

Sedia ambil pendirian tegas pertahan institusi Raja Melayu

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan beliau bersedia mengambil pendirian tegas dalam mempertahankan institusi Raja Melayu bagi memastikan sistem Raja Berperlembagaan terus kekal bersama kuasa eksekutif.

“Tak semena-mena sudah banyak tahun baginda menjadi Yang di-Pertuan Besar, terus nak guling.
“Itu (keputusan) Undang tapi saya kata bincang elok-elok.
“Saya tak setuju, tak boleh guling Raja, tak boleh. Sistem Raja berperlembagaan bukan begitu.
“Raja tak boleh disinggung, saya jika ada masalah, kalau ada tak setuju, saya mohon mengadap nyatakan pandangan.
“Tak boleh jatuhkan, Raja kalau kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem Raja akan pupus di negara ini,” katanya.

Foto: PMO

Sumber: Berita Harian (M Hifzuddin Ikhsan)

Scroll to Top