bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Gergasi semikonduktor terkemuka dari United Kingdom, ARM Holdings Plc, bakal menubuhkan ibu pejabat ASEAN pertamanya di Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengumumkan perkara itu Perdana Menteri berkata, penubuhan ibu pejabat serantau itu juga adalah dengan matlamat untuk memperluaskan jangkauan ke pasaran ASEAN, Australia, dan New Zealand.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan tertinggi ARM terhadap negara kita.
“Hari ini, kerjasama Malaysia dengan ARM menandakan permulaan gelombang semikonduktor kedua. Ini adalah perubahan asas dalam pendekatan kita terhadap semikonduktor dan teknologi yang akan membentuk masa depan kita.
“Melalui kerjasama menyeluruh dengan ARM, kita telah merangka salah satu pelan teknologi paling bercita-cita tinggi yang pernah disaksikan Malaysia, untuk menerajui pembangunan cip kecerdasan buatan (AI) “Made by Malaysia.” “Cip ini akan direka bentuk, dibuat, diuji, dan dipasang di sini sebelum dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada majlis peluncuran Kerjasama Strategik dalam Industri Semikonduktor di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif ARM, Rene Haas.
Anwar berkata, kerjasama itu mempunyai tiga ciri utama iaitu pertama, membangunkan program latihan komprehensif untuk 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC), bagi mewujudkan saluran bakat yang kukuh untuk industri semikonduktor dalam negara.
“Memberikan syarikat Malaysia yang terpilih akses istimewa kepada teknologi dan portfolio harta intelek (IP) canggih ARM.
“(Ketiga) memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan, bagi menyokong matlamat negara dalam pengeluaran cip yang lebih maju di Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerjasama ini dapat direalisasikan hasil usaha rentas kementerian membabitkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang memastikan rangka pelaburan yang kompetitif dan terancang.
Selain itu katany, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menerajui usaha pemudahcaraan dan memuktamadkan perjanjian; dan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi yang menyelaraskan insentif kewangan serta memastikan kesan ekonomi yang mampan dan jangka panjang.
“Bersama-sama, kementerian-kementerian ini telah bekerja keras untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri semikonduktor.
“Saya yakin bahawa kita akan mencipta kesan pengganda ekonomi yang tidak terhad kepada Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




