PM hadir majlis makan malam kerajaan Sabah sempena MTPMA63

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bertempat di The Magellan Sutera, di sini malam ini.

Anwar tiba kira-kira jam 7.50 malam dan disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional Sabah sebelum jamuan makan malam dihidangkan kepada tetamu.

Persembahan turut menampilkan penyanyi tempatan, antaranya Azharina Azhar, Sumarli Loli dan Ryenald Guntabid.

Anwar berada di Sabah untuk lawatan kerja selama dua hari dengan beberapa program rasmi dijadualkan sepanjang kunjungan berkenaan, termasuk mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 Tahun 2026 esok.

Beliau turut dijadualkan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas sebelum meneruskan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Serbaguna Damai pada tengah hari.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Senator Phoong Jin Zhe menggesa Perdana Menteri memanfaatkan lawatan kerja berkenaan untuk menangani dua isu berlarutan membabitkan Sabah, iaitu pengembalian hak kelayakan 40 peratus hasil bersih Sabah dan semakan semula mekanisme subsidi diesel bersasar.

Phoong berkata, lawatan Anwar ke negeri itu bagi menghadiri mesyuarat MTPMA63 diharap dapat membawa penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Katanya, hak kelayakan 40 peratus hasil bersih Sabah bukan peruntukan tambahan yang diminta daripada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya hak yang dijamin kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat Sabah mahu melihat penyelesaian konkrit selepas mesyuarat MA63, bukannya membiarkan isu ini terus terperangkap dalam perbincangan teknikal yang tiada kesudahan.

“Sabah terus berdepan jurang pembangunan yang ketara, terutama dalam kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan raya, sekolah, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan awam.

“Pelaksanaan kelayakan 40 peratus ini akan memberi Sabah keupayaan lebih besar untuk menangani keperluan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Phoong pada masa sama menggesa Kerajaan Persekutuan menyemak semula mekanisme subsidi diesel bersasar dengan mengambil kira keadaan geografi Sabah, keterbatasan pengangkutan awam serta kebergantungan penduduk terhadap kenderaan diesel.

“Saya berharap sepanjang lawatan ini, Perdana Menteri dapat mendengar sendiri suara rakyat Sabah dengan ikhlas dan membuat kemajuan yang tegas berhubung dua isu ini,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top