
Peter Magyar – Foto: Agensi
BUDAPEST – Perdana Menteri Hungary yang baharu, Peter Magyar memberi amaran bahawa rakan sejawatnya dari Israel, Benjamin Netanyahu berdepan risiko ditahan sekiranya memasuki negara itu.
Magyar berkata, Hungary akan menghentikan rancangan untuk menarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sekali gus kekal terikat dengan kewajipan undang-undang badan tersebut.
Menurut beliau, sebagai negara anggota ICC, Hungary wajib menahan mana-mana individu yang dikehendaki mahkamah berkenaan termasuk Netanyahu yang berdepan waran tangkap sejak November 2024 atas dakwaan jenayah perang di Gaza.
“Jika seseorang yang dikehendaki ICC memasuki wilayah kami, maka individu itu mesti ditahan,” katanya dalam sidang media.
Kenyataan itu dibuat meskipun terdapat dakwaan bahawa Netanyahu sebelum ini dijemput menghadiri acara memperingati ulang tahun ke-70 kebangkitan Hungary.
Magyar yang memenangi pilihan raya besar-besaran awal bulan ini sekali gus menamatkan pemerintahan selama 16 tahun oleh Viktor Orban, berikrar untuk membatalkan keputusan kerajaan terdahulu yang mahu keluar daripada ICC.
Langkah penarikan diri tersebut dijadualkan berkuat kuasa pada 2 Jun dan akan menjadikan Hungary satu-satunya negara Kesatuan Eropah yang tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC.
Namun, Magyar menegaskan bahawa kerajaan baharunya akan memastikan Hungary kekal sebagai anggota ICC.
Sementara itu, beberapa negara Eropah lain dilaporkan mengambil pendekatan berbeza terhadap waran tangkap tersebut.
Perancis menyatakan bahawa penahanan Netanyahu mungkin bercanggah dengan perjanjian sedia ada, manakala bekas Canselor Jerman, Olaf Scholz menyatakan sukar membayangkan negaranya melaksanakan tindakan sedemikian.
Itali turut memaklumkan tidak akan melaksanakan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dengan merujuk kepada kekebalan pemimpin asing di bawah Konvensyen Vienna. – Agensi



