Putrajaya : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melancarkan ‘MyDigital – Rangka Tindak Ekonomi Digital Malaysia’ Jumaat ini yang dijangka menyediakan landasan bagi menjadikan negara sebagai nadi digital serantau menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan sudah menubuhkan sebuah Majlis Ekonomi Digital bagi menetapkan dasar, pelaksanaan serta pemantauan strategi dan inisiatif ekonomi digital Malaysia.
Majlis ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, menjadi entiti tunggal dan mengambil alih semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi sedia ada bagi memudahkan penyelarasan dan mengelakkan pertindihan tugas.
“Mesyuarat pertama majlis ini berlangsung November lalu dan akan bersidang lagi Mac ini, seterusnya setiap tiga bulan sekali. Majlis ini diterajui enam kluster yang dipengerusikan lima menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya dalam taklimat hari ini.
Enam kluster berkenaan ialah Ekonomi, Masyarakat, Teknologi Baru Muncul, Bakat Digital, Infrastruktur Digital dan Data serta kluster Kerajaan yang dipengerusikan KSN.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, MyDigital adalah pendekatan baharu dan menyeluruh terhadap beberapa inisiatif teknologi maklumat dan digital sedia ada sebelum ini termasuk Koridor Raya Multimedia (MSC).
“MyDigital mengetengahkan pendekatan penerimaan ekonomi digital secara menyeluruh daripada rakyat dan negara,” katanya.
Daripada aspek prasarana, Malaysia sudah bersedia ke arah persekitaran menyeluruh ekonomi digital apabila capaian telefon mudah alih Malaysia kini sudah mencecah 135 peratus, 90.1 peratus isi rumah ada capaian internet dan negara menduduki tempat ke-40 dalam senarai kelajuan internet global.
Sumber – Berita Harian
Malay News
Technology Desk



