PM mahu kesedaran awam diperkasa, elak rakyat terjerat scam dalam talian

PM mahu kesedaran awam diperkasa, elak rakyat terjerat scam dalam talian

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu program kesedaran awam ditingkatkan bagi memastikan rakyat tidak mudah terjerumus menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, itu adalah amanat ringkas Perdana Menteri yang disampaikan kepada petugas Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesej utama itu disampaikan Perdana Menteri selain tindakan penguatkuasaan dan pemantapan operasi oleh NSRC.

“Perdana Menteri menekankan betapa pentingnya program meningkatkan kesedaran agar kita jangan sampai terlibat (jadi mangsa penipuan).

“Kadang-kadang kita didorong oleh sikap tamak ataupun tawaran-tawaran yang dianggap sebagai sangat lumayan hasilnya kalau ikut serta,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pusat operasi NSRC oleh Perdana Menteri, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan bukan sahaja memperkukuh operasi dan koordinasi antara agensi, malah turut mengambil langkah meminda peruntukan undang-undang bagi mengekang jenayah siber.

Beliau memaklumkan, pindaan undang-undang melalui Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa sejak Oktober 2024 membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang merelakan akaun mereka digunakan sebagai instrumen kewangan atau pembayaran oleh sindiket penipuan.

“Sebelum ini pemilik akaun yang menumpangkan akaun mereka sukar diambil tindakan. Kini, jika seseorang itu dengan pengetahuan sendiri membenarkan akaunnya digunakan, ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top