PM perjelas suntikan dana kepada TH bagi mengelak muflis

PM perjelas suntikan dana kepada TH bagi mengelak muflis

am@hmetro.com.my

Seremban: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan memberi suntikan kewangan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) kerana dikhuatiri muflis sekiranya dibiarkan dalam keadaan rugi.

“Wang jemaah haji ini wang orang kampung, sudah diambil wang (ini) secara besar-besaran, berbilion-bilion.

“Yang orang kampung kutip RM100 sebulan pun hilang… sudah rugi. Kalau kerajaan pada masa itu biar, dah jatuh bankrap pula Tabung Haji.

“Jadi kita kena bagi suntikan. Siapa bayar? Kerajaan bayar balik,” katanya semasa berucap pada Grand Finale Kekal Harapan Negeri Sembilan yang berlangsung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, malam tadi.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju laporan siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai TH dikelaskan semula dan didedahkan, hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan itu akan dibentangkan dan dibahaskan pada sidang khas Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Mengulas lanjut, Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini juga satu cara pengundi memberi mesej yang jelas kepada pemimpin.

“Bagi mesej yang jelas, cukuplah, jagalah negeri ini. Apa pun kelemahan, jangan izinkan negeri ini, harta benda rakyat itu diambil dan kita padamkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top