Zurich: Bekas Presiden FIFA, Sepp Blatter mengkritik keras rancangan badan induk bola sepak dunia itu untuk menubuhkan anak syarikat komersial bernilai AS$20 bilion (RM85 bilion) bagi menguruskan Piala Dunia dengan menyifatkan kejohanan itu bukan aset yang boleh diperdagangkan.
Blatter berkata, Piala Dunia adalah milik seluruh komuniti bola sepak dan bukannya hak eksklusif segelintir individu atau pihak tertentu.
“Bola sepak bukan milik mana-mana individu dan bukan juga milik sesebuah institusi. Bola sepak adalah milik semua orang,” katanya kepada Reuters.
Menurut Blatter, jika FIFA diubah menjadi sebuah struktur korporat yang berorientasikan keuntungan, badan itu akan kehilangan identiti dan nilai sebenar yang menjadi asas kepada sukan berkenaan.
“Jika FIFA ditukar kepada sebuah struktur korporat yang berorientasikan keuntungan, ia akan kehilangan jiwanya,” katanya.
Terdahulu, FIFA mengumumkan cadangan menubuhkan anak syarikat komersial dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE), yang akan membuka ruang kepada pelabur jangka panjang memiliki pegangan minoriti bagi menguruskan pertandingan utama badan induk itu.
Blatter memegang jawatan Presiden FIFA selama 17 tahun sebelum meninggalkan badan induk bola sepak dunia itu pada 2015.
© New Straits Times Press (M) Bhd




