Bucharest: Perdana Menteri Romania berikrar untuk memboikot upacara penutup Sukan Olimpik selepas apa yang digelarnya sebagai ‘ketidakadilan yang jelas’ terhadap dua gimnas negara itu.
Marcel Ciolacu meluahkan kemarahan terhadap apa yang dikatanya sebagai ‘situasi memalukan’ membabitkan Ana Barbosu dan Sabrina Voinea, yang kedua-duanya tidak meraih pingat dalam acara senaman lantai wanita.
Ana pada mulanya dinyatakan memenangi gangsa dan mengibarkan bendera Romania sebagai meraikan kejayaan.
Namun, rayuan mendadak yang dikemukakan bagi pihak gimnas Amerika Syarikat, Jordan Chiles meningkatkan markah kesukarannya dan menolak Ana ke tempat keempat dan Sabrina ke tempat kelima.
Presiden persatuan gimnastik negara berkenaan, Carmencita Constantin, memberitahu AFP bahawa beliau akan mengemukakan dua aduan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Kedua-dua gimnas Romania itu meninggalkan pertandingan dengan tangisan.
Sabrina, 17, yang mengemukakan rayuan yang tidak berjaya, mengadu bahawa beliau telah dikenakan penalti yang tidak adil.
Rayuan sering dikemukakan semasa pertandingan gimnastik. Ada yang ditolak, ada yang diterima, yang mengakibatkan perubahan markah.
Legenda gimnastik Romania, Nadia Comaneci, turut terjun ke dalam kontroversi itu, berkata dalam beberapa mesej di X bahawa kesihatan mental gimnas tidak dilindungi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




