PM tempelak pembangkang 'lebih Hamas dari Hamas', 'lebih China dari China'

PM tempelak pembangkang 'lebih Hamas dari Hamas', 'lebih China dari China'

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen pembangkang diingatkan supaya tidak bersikap ‘lebih Hamas dari Hamas’ dan ‘lebih China dari China’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ‘nasihat’ itu ditujukan kepada pembangkang yang dilihat cuba menanam kebencian sehingga ada dalam kalangan mereka salah tafsir peruntukan tertentu dalam perjanjian yang dimeterai.

Jika dibiarkan, beliau bimbang ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara tertentu.

“Perkara ini (Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Amerika Syarikat (AS) dengan Malaysia) dijelaskan semalam oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan masih ada ruang berdebat selepas ini. Sebab itu Menteri MITI cabar (tanya) peruntukan (yang) mana?

“Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa-apa dilakukan oleh AS tentunya diteliti line by line (satu demi satu) oleh China.

“Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah Ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China. Kalau unsur nadir bumi (REE) dimonopoli AS, tidak boleh dengan China… Ini (sebenarnya) tidak berlaku.

“Jadi kita (pula jadi ‘lebih Hamas dari Hamas’, ‘lebih China dari China’. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu saja. Saya akan teliti dulu undang-undangnya, teliti peruntukannya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang memohon penjelasan daripada Perdana Menteri sama sama perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dengan AS mempunyai unsur yang boleh menggadaikan maruah dan kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan juga bersetuju agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia membuat pembelian daripada AS di bawah perjanjian perdagangan baharu.

Berhubung komitmen yang diperlukan daripada Malaysia untuk membeli barangan AS berjumlah lebih RM1 trillion, beliau menegaskan ia bukan membabitkan ‘wang’ kerajaan, sebaliknya pembelian dilakukan oleh GLC.

Malaysia Airlines (MAS) umpamanya, beliau berkata syarikat itu membeli 30 pesawat dari Airbus dan 30 lagi dari Boeing, menegaskan rancangan pembelian itu sudah lama berlaku sebelum ini.

“Bukan saya order (pesan pesawat berkenaan). Ini (dilakukan) MAS. Begitu juga tentang pesanan daripada Google, Microsoft. Ini bukan kerajaan.

“Begitu juga import gas. Gas asli cecair (LNG) dari PETRONAS, tentu PETRONAS jelaskan dan ia tentunya bukan baru (berlaku). Ia satu kejayaan besar pelaburan carigali PETRONAS di Kanada yang dikutuk dulunya kononnya kita jual .Itu pun satu penipuan tetapi tidak berlaku. Sekarang berhasil.

“Kehadiran Perdana Menteri Kanada antara lain untuk menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana PETRONAS berjaya di Kanada. Hasilnya besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top